Isnin, 27 Jun 2016

Pas kaji dua keputusan PRK



Pas kaji dua keputusan PRK
Takiyuddin (duduk) turut menyelami perasaan penarik beca selepas majlis penyampaian sumbangan di Bazaar Tok Guru semalam.


KOTA BHARU - Pas akan kaji dua keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar melalui satu jawatankuasa ‘Post Mortem’ yang akan dipengerusikan oleh Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ini perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca kekalahan Pas di dua kawasan tersebut baru baru ini.

“Bagaimanapun Pas tidaklah kalah teruk, cuma undian yang dahulunya berpihak kepada kita sebelum ini, berpecah kepada pihak lawan termasuk BN, Parti Amanah Negara (Amanah) dan beberapa parti komponen lain.

“Kita akan jalankan post mortem untuk menilai pengendalian dan perjalanan pilihan raya proses secara terperinci dan menyeluruh,” katanya kepada media di sini semalam.

Terdahulu, beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis menyampaikan sumbangan sempena Aidilfitri kepada 50 penarik beca yang menerima sumbangan beras, barangan makanan dan wang di pekarangan Bazaar Tok Guru di sini semalam.

Sementara itu, Takiyuddin menyambut baik tindakan Pas Kelantan yang tidak akan memberi laluan kepada Amanah untuk bertanding di beberapa kerusi pilihan mereka.

“Namun apa pun keputusan yang kita akan hadapi pada PRU akan datang ia bergantung kepada Pas Pusat untuk menentukan coraknya.

“Saya sambut baik seruan itu dan mereka ada alasan tersendiri namun perkara itu terpulang kepada keputusan tertinggi untuk membuat keputusan seterusnya,” katanya.

Tiada ulasan: