Jumaat, 10 Jun 2016

PAS dakwa 84% Melayu Kuala Kangsar sokong RUU Hadi

 
 
Menerusi kaji selidik terbarunya, PAS mendapati 84 peratus masyarakat Melayu di Kuala Kangsar bersetuju dengan usul rang undang-undang (RUU) persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pindaan Akta 355 di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, penemuan kaji selidik itu adalah serupa dengan hasil punggutan suara yang pernah dilakukan oleh aktivis belia Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi Twitter.

"Sebanyak 20,000 maklum balas telah diterima dalam pungutan suara Twitter itu. Ini adalah lebih tinggi daripada kita," katanya yang juga pengarah pilihan raya PAS kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, masyarakat bukan Melayu, khususnya kaum Cina masih tidak memahami RUU Hadi itu, katanya.

"Mereka datang untuk memahami RUU tersebut selepas PAS menjelaskan terus kepada mereka," kata Idris.

PAS telah menganjurkan sesi dialog dengan masyarakat Cina di Jerlun pada 5 Jun yang lalu, di mana Abdul Hadi dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria memberi penjelasan mengenai perkara itu kepada mereka.

"Mereka telah menerima bahawa ini adalah perkara yang berkaitan rapat dengan perjuangan PAS, selepas kami menjelaskan RUU itu bagi membolehkan mereka mendapat gambaran yang lebih jelas," katanya.

Mengkritik golongan yang menentang RUU tersebut, Idris berkata, Malaysia boleh dianggap sebagai bernasib baik kerana mahkamah syariah telah ditubuhkan sejak sekian lama dahulu.

"Jika tidak, kumpulan-kumpulan ini akan melakukan lebih banyak usaha untuk menentang mahkamah syariah juga," jelas beliau lagi.

Tiada ulasan: