Khamis, 16 Jun 2016

Pakatan NGO pro-BN lapor polis terhadap Mahathir

MALAYSIAKINI


Pakatan NGO Pro Barisan Nasional dan Gabungan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam kerana dikatakan mendakwa bahawa ahli Umno boleh dibeli.

Presidennya, Zulkarnain Mahdar mendakwa bahawa tuduhan seperti itu adalah menjengkelkan dan berniat jahat kerana sebagai ahli Umno, mereka hanya menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada parti.

"Bagaimana beliau boleh berkata demikian? Kami hanya melahirkan tanda setia kepada parti tapi kami dikatakan telah dibeli," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Balai Polis Sungai Besar semalam.
Zulkarnain berkata beliau merasa terhina dengan apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir dalam entri blognya bertajuk, Kebebasan Bersuara bertarikh 7 Jun.

Beliau juga mengkritik dakwaan Dr Mahathir bahawa orang-orang yang tidak menandatangani Deklarasi Mahathir akan kehilangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), biasiswa, peluang perniagaan dan keistimewaan lain.

"Ini adalah fitnah dan tuduhan dusta... hanya kerana kami tidak mahu menandatangani perisytiharan beliau," katanya.

Zulkarnain berkata beliau membuat laporan polis itu bagi membolehkan pihak berkaitan mengambil tindakan terhadap Dr Mahathir dan beliau juga akan memfailkan saman fitnah.- Bernama


Tiada ulasan: