Sabtu, 11 Jun 2016

Mengapa PAN terlalu sensitif perkara remeh temeh?

Oleh Abdul Rahman Malik
 
Post Pic
 
 
[ULASAN] Akhirnya Parti Amanah Negara (PAN) sudah hilang sabar. Ia tidak boleh lagi terima dirujuk sebagai PAN dalam laporan kebanyakan media. 
 
Pengerusi PAN Perak Asmuni Awi, mengeluarkan kata dua pada media supaya menggunakan nama “Amanah” dalam laporan mereka atau berdepan tindakan dilarang menghadiri sidang media parti itu.
 
“Masih ada media yang merujuk kami sebagai PAN. Tidak kira apa kecenderungan anda, sebagai media marilah kita bersikap profesional.
 
“Jika tidak, mungkin kita perlu kecualikan sebahagian daripada anda daripada (membuat liputan) sidang media kami yang akan datang. Harap dapat sampaikan kepada editor anda,” katanya.
 
Asmuni berhujah, “Amanah” adalah nama yang diiktiraf Pendaftar Pertubuhan dan penggunaan “PAN” mengelirukan pengundi.
 
Sebenarnya sudah agak lama juga parti itu menjeruk rasa tidak mahu disebut sebagai PAN. Beberapa pemimpin PAN secara peribadi menegur pihak media supaya merujuknya sebagai Amanah.
 
Perkara ini pernah disuarakan secara sopan oleh Timbalan Presiden, Salahuddin Ayob tetapi nampaknya pihak media lebih selesa merujuk parti itu sebagai PAN.
 
Namun protes lebih serius pernah dibuat oleh pemimpin PAN dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor bagi kerusi Hulu Kelang, Saari Sungib. 
 
Beliau mengingatkan pihak media supaya merujuk dan memahami maksud ayat ke-11 surah al Hujurat demi menghindar kemurkaan Allah di akhirat kelak.
 
Terjemahan ayat berkenaan (yang dipetik daripada Kitab Al Quran bil hadis Nabawi yang diterbitkan oleh Karya Bestari) adalah seperti berikut:
 
“Wahai orang-orang yang beriman janganlah ada satu kaum yang mempermain-mainkan kaum lain (kerana) boleh jadi kaum yang dipermainkan itu lebih baik daripada mereka.
 
“Dan jangan pula ada golongan perempuan yang mempermain-mainkan perempuan lain (kerana) boleh jadi perempuan (yang dipermainkan) itu lebih baik daripada mereka.
 
“Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk.  Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (jadi fasik) setelah beriman. Dan barangsiapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. 
 
Soalnya, adakah singkatan PAN bagi Parti Amanah Negara itu satu tindakan mempermain-mainkan atau mencela parti yang ditubuhkan tahun lalu itu?
 
Sayugia diingat bahawa memang satu kelaziman media menggunakan singkatan abjad dalam laporannya. Contohnya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu disingkatkan melalui terjemahan bahasa Inggerisnya, United Malays National Organization kepada Umno sahaja.
 
Begitu juga dengan Parti Islam seMalaysia disebut PAS; Democratic Action Party disebut DAP; Parti Bersatu Sabah disingkatkan kepada PBS sahaja. 
 
Amalan lazim media ialah, sebelum digunakan sebarang singkatan kepada apa jua nama Khas, ia perlu disebut dengan penuh pada rujukan pertama. 
 
Rujukan kedua dan selanjutnya barulah digunakan singkatan sahaja seperti United Nations High Commissioner for Refugees dirujuk sebagai UNHCR sahaja. Ini amalan media sejagat.
 
PAN adalah parti baru dan mungkin mahu meniupkan satu protokol media baru. Namun yang menjadi kemusykilan adakah singkatan ini bermakna satu penghinaan atau mempermainkan PAN?
 
Mengapa PAN angkuh mahu mengubah protokol media? Mengapa PAN berprasangka terhadap media? Tidakkah PAN sebuah parti Islam? Mengapa ia tidak menghormati kebebasan media memudahcara tugasnya?
 
Lebih penting lagi mengapa PAN hanya memetik ayat dan mesej Quran sebahagiannya sahaja? Tidakkah pemimpin-pemimpin PAN membaca ayat berikut daripada yang petiknya?
 
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada berprasangka. Sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di kalangan kamu yang mengejek sebahagian yang lain. 
 
“Apakah ada di antara kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu berasa jijik. Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al Hujurat ayat 12).
 
PAN parti Islam. Kenapa PAN berprasangka terhadap media? Apakah unsur buruk pada pemikiran PAN tersirat di sebalik singkatan PAN itu? Agak mustahil media boleh mengelirukan rakyat jika hanya menyebut parti itu sebagai PAN. 
 
Walaupun sudah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan itu tidak bermakna dalam interaksi sosial seseorang atau sesebuah parti politik itu wajib menggunakan nama yang membawa kata sifat atau adjektif Amanah. 
 
Ada insan yang didaftarkan sebagai Muhammad dengan Jabatan Pendaftaran Negara tetapi lebih dikenali dan disenangi disebut sebagai Mike Tyson sahaja.
 
Sebagai parti politik PAN harus mesra rakyat, khususnya pengundi. Jika dipaksa dipanggil parti Amanah, rakyat mungkin musykil dengan kemiripan logo PAN dengan logo sebuah stesen televisyen di India. 
 
Jika ada keberangkalian kemiripan itu sesuatu yang disengajakan, boleh jadi nanti parti itu akan digelar Parti Tidak Amanah.
 
 

Tiada ulasan: