Rabu, 15 Jun 2016

Mana lagi kerajaan nak korek bayar hutang 1MDB?

1MDB
1Malaysia Development Berhad
 
 
SHAH ALAM – “Dari mana duit bakal dikorek Kementerian Kewangan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekiranya International Petroleum Investment Company (IPIC) berjaya tuntut RM26.5 bilion?”

Demikian persoalan terbaharu dibangkitkan Pas kepada kerajaan berhubung laporan terkini mengenai 1MDB melibatkan tuntutan IPIC dan Aabar Investments PJS dari Abu Dhabi yang mengemukakan Permintaan Timbang Tara (RFA) kepada Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, 1MDB hanya mempunyai lebihan tunai sekitar RM2.3 bilion setelah membayar semua hutang.

“Apakah rakyat yang juga akan disembelih nanti menggunakan kenaikan cukai, pengenalan cukai baru serta GST terhadap pembelian petrol dan pembayaran tol, yang dijangka akan dinaikkan selepas Hari Raya?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Memetik laporan Bernama, Permintaan Timbang Tara (RFA) itu melibatkan kegagalan 1MDB dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) untuk melaksanakan obligasi kontrak mereka di bawah Lembaran Terma Terikat (BTS)dan tuntutan itu bernilai kira-kira RM26.5 bilion.

Dalam pada itu, Pas menyeru pengundi di kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk menghantar isyarat yang jelas dengan menolak Umno-BN secara total dengan mengundi parti Islam itu.

“Pas yang menjadi musuh politik tradisi Umno di seratus lebih kerusi Dun dan Parlimen di Semenanjung untuk berdekad lamanya.

“Pertembungan Pas dan Umno sudah turun-temurun. Sejarah tumbangnya kerajaan pilihan rakyat di Perak bukan hasil pengkhianatan Adun Pas,” katanya.

Tiada ulasan: