Sabtu, 18 Jun 2016

Kuala Kangsar: ‘Meneruskan perjuangan’ atau menolak Najib?

 
Seramai 32,949 pengundi Kuala Kangsar mengundi hari ini menentukan sama ada mahu meneruskan perjuangan bekas wakil rakyat dengan memilih balunya. 


Mastura


KUALA KANGSAR: Slogan “Meneruskan sebuah perjuangan” terpampang di kebanyakan poster calon Barisan Nasional (BN) di Kuala Kangsar.

Datin Mastura Mohd Yazid, balu kepada ahli parlimen terdahulu, Datuk Wan Mohammad Khair-il “dipasarkan” sebagai bakal wakil rakyat yang mampu meneruskan kesinambungan kerja suaminya.

Bagi pihak Pakatan Harapan, dan untuk skala yang lebih kecil PAS, PRK kali ini digambarkan sebagai referendum rakyat menyuarakan rasa tidak puas hati kepada kepimpinan negara.

Penduduk Kuala Kangsar yang ditemui FMT nampaknya berbelah bahagi antara kedua-dua sisi tersebut.

Berdasarkan kecenderungan politik masing-masing, ada yang berkata PRK ini adalah wadah bagi pengundi menyatakan sikap terhadap isu-isu dalam negara, dan ada pula yang beranggapan sebaliknya.

Malah ada juga yang bersikap lebih pragmatik, menimbang pihak mana yang dilihat akan lebih banyak manfaat kepada Kuala Kangsar dan penduduknya.

Bagi Syed Ismail, 54, keutamaan harus diberikan kepada faedah yang bakal dinikmati penduduk Kuala Kangsar terlebih dahulu.

“Saya setuju dengan apa yang dikatakan pembangkang. Tetapi perlu tengok perut sendiri dulu. Sokong BN buat sementara ini.

“Keadaan mungkin berbeza pada pilihan raya umum, sebab ketika itu ada peluang untuk tukar kerajaan,” katanya.

Shamsul Ghani, 38, bersetuju dengan kenyataan itu dengan berkata PRK ini untuk memilih wakil yang mampu menyelesaikan masalah rakyat, dan tidak melihat kepentingan isu seperti 1MDB.

Berbeza dengan Fairul Abdullah, 30, yang berkata warga Kuala Kangsar bukan sahaja mengundi untuk hari ini, tetapi juga masa hadapan.

“Kita juga mengundi untuk masa akan datang. Jadi perlu ambil kira isu-isu negara seperti 1MDB dan GST. Sekarang orang sakit nak beli ubat pun mahal.

“Tapi calon tetap kena tengok juga. Tak guna kalau yang dipilih nanti tak mampu bawa suara kita,” kata penjawat awam itu lagi.

Bagi Farid Sattar, 34, PRK ini merupakan medan menyatakan rasa tidak puas hati pengundi kepada kerajaan, sama seperti yang digemakan Pakatan Harapan sepanjang kempen.

“Kita perlu suarakan sikap kita tentang GST, pembaziran, sebab yang terima kesannya rakyat juga,” kata Farid, seorang kerani.

Subheader: Tangkap imaginasi pengundi

Bagi penganalisis politik Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi, isu nasional seperti skandal 1MDB dan GST tetap menjadi kelemahan kepada BN.

“Sejauh mana pembangkang memainkan isu ini dan menerapkannya dalam imaginasi pengundi menjadi salah satu faktor penentu menang kalah Umno,” kata pensyarah Universiti Malaya itu.

Sementara BN seperti biasa memberikan pelbagai bantuan dan peruntukan bagi kempennya,

pembangkang terutama Pakatan Harapan kekal menganggap PRK ini referendum menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mengadakan siri sidang media berhubung dakwaan penggunaan jet peribadi yang dibiayai kerajaan bagi perjalanan Datin Seri Rosmah Mansor ke Turki.

Baginya, jet tersebut adalah simbol pembaziran pemimpin negara yang perlu ditolak pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Begitu juga dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membawa agenda Deklarasi Rakyat bagi menolak Najib.

Mastura akan berhadapan Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah), Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS) dan Izat Bukhari Ismail Bukhari (Bebas).

Seramai 32,949 pengundi Kuala Kangsar akan memutuskan sama ada untuk menjadikan PRK ini kesinambungan bekas wakil rakyat mereka atau referendum menolak kepimpinan negara.

Tiada ulasan: