Isnin, 20 Jun 2016

Kera peliharaan cakar pipi bayi umur 8 bulan

Kera peliharaan cakar pipi bayi umur 8 bulan


DUNGUN - "Kera itu melompat secara tiba-tiba dan menarik rambut sebelum mencakar pipi anak saya," demikian cerita bapa kepada bayi lapan bulan , Khaiffah Nurul Damia Qhalifa yang cedera di pipi kiri setelah kera peliharaannya bertindak di luar kawalan, dalam kejadian di Kampung Sungai Buaya, di sini, khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira 9.00 pagi, bayi perempuan  itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat kecederaan yang agak serius.

Syed Mohamad Hishamudin, 36 berkata, ketika kejadian anaknya  sedang didukung oleh isteri, Norhayati Mohd Dahan, 36, yang melalui tempat kera peliharaan  ditambat untuk ke belakang rumah.

Menurutnya, dia tidak menyangka kera yang dipelihara sejak tiga tahun lalu itu akan bertindak ganas sehingga mencederakan anaknya.

"Saya menambat kera itu pada sebatang tiang berhampiran rumah.

"Pada hari kejadian, isteri saya turun dari rumah untuk mengambil seliparnya di belakang rumah.

"Anak saya merengek mahu ikut dan isteri terpaksa mendukungnya bersama.

"Bagaimanapun, kera yang ditambat itu secara tiba-tiba melompat dan menarik rambut serta mencakar pipi anak saya,"katanya kepada pemberita.

Katanya, isterinya terpaksa bergelut  dengan kera terbabit untuk menyelamatkan anaknya yang ketika itu sudah cedera.

"Isteri saya terpaksa menarik dan menghempas kera supaya jatuh ke tanah dan ketika itu pipi Khaiffah sudah berlumuran darah.

"Sebaik sahaja terdengar anak menjerit kesakitan, saya berlari keluar dari rumah dan terus bergegas ke Hospital Dungun,"katanya.

Katanya, anaknya masih dalam tempoh pemantauan dan telah menjalani pembedahan di HSNZ pada  pagi tadi ( 19 Jun).

"Kerana kecederaan agak teruk, anak saya terpaksa dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

"Sebelum menjalani pembedahan, keadaan pipinya yang luka dan cedera itu dipantau oleh pegawai perubatan,"katanya.


Tiada ulasan: