Khamis, 9 Jun 2016

Kami mahu lawan BN, bukan pembangkang lain, kata Amanah Perak

HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Asmuni Awi bersama rakan-rakannya dalam sidang media Pakatan HarapanAsmuni Awi bersama rakan-rakannya dalam sidang media Pakatan Harapan


Parti Amanah Negara (Amanah) mengulangi pendirian bahawa mereka  mahu menggantikan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan tidak berminat untuk bergaduh dengan parti pembangkang lain.

Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi berkata, parti pembangkang lain yang menyertai PRK Kuala Kangsar harus menyerang BN, bukan Amanah dan Pakatan Harapan.

"Kita tak mahu berbalah dengan parti pembangkang yang lain. Kita nak menggantikan BN. Dalam konteks pilihan raya ini kita nak menangkan calon kita untuk menggantikan calon BN dulu untuk membolehkan Amanah menghantar wakil ke  parlimen nanti.

"Kalau ada lagi parti-parti yang turut serta dalam pilihan raya kecil ini yang serang kami, kami minta tolong fokuskan serangan kepada BN. Pakatan Harapan tak memerintah Malaysia dan Perak," katanya dalam sidang media di pejabat Amanah Kuala Kangsar hari ini.

Ditanya pemberita sama ada beliau merujuk kepada Pas, Asmuni berkata mereka boleh menilai sendiri parti mana yang sering menyerang Amanah.

Bagaimanapun kenyataan Asmuni itu dipercayai ditujukan kepada Pas yang turut bertanding di PRK Kuala Kangsar.

Pas sebelum ini sering mendakwa Amanah mengikut telunjuk DAP dan menolak hudud dilaksanakan di Malaysia.

Asmuni juga berkata, Amanah tiada masa untuk bergaduh dengan Pas sebaliknya memberi fokus kepada isu rakyat dalam kempen mereka.

"Kita tak mahu berbalah dengan parti pembangkang lain. Kita tak ada masa. Kita fokus isu rakyat, kepentingan rakyat,  visi dan misi Pakatan Harapan dan Amanah. Jadi kita tak ada masa nak layan," katanya.

Tiada ulasan: