Ahad, 5 Jun 2016

Jadi 'penasihat' Umno: Ini jawapan Pemuda Pas

IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Khairil Nizam
SHAH ALAM - Pemuda Pas hari ini membidas kenyataan Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah yang mendakwa parti Islam itu bersahabat dengan Umno.

Naib Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, sekiranya Pas bersahabat dengan Umno, Pas tidak akan bertanding di kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) itu.

"Habis kalau kami menjadi penasihat dia (Umno), apa hal pula kami bertanding lawan dia di situ?," katanya kepada Sinar Online.

Saifuddin hari ini dilaporkan berkata, dek kerana pendirian Pas yang menjadi 'penasihat' kepada Umno dan kenyataan pimpinannya yang semakin menjauhkan diri daripada PKR, maka kedudukannya sebagai parti pembangkang menjadi kabur malah kelihatan bersahabat dengan Umno.

Dalam pada itu, menurutnya Khairil, hujah Saifuddin itu jelas menunjukkan Pakatan Harapan tidak mempunyai modal dalam PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar berkenaan.

"Kenaifan hujah Datuk Saifuddin menunjukkan yang Pakatan Harapan tidak ada modal dalam PRK kali ini.

"Barangkali kerana 'kemabukan' kerana kerjasamanya dengan DAP," katanya.

Tegasnya, Pas konsisten dalam menentang segala kezaliman dan salahguna kuasa Umno-BN.

Selepas proses penamaan calon bagi PRK di Parlimen Sungai Besar pagi tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan bakal berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Sementara untuk PRK di Kuala Kangsar pula bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, Pas, Amanah dan Bebas.

Proses pengundian bakal berlangsung 18 Jun ini secara serentak.


Tiada ulasan: