Rabu, 15 Jun 2016

Berapa lama kanak-kanak patut tidur?

tidur
Gambar hiasan.
 

TIDUR yang cukup amat penting untuk kanak-kanak dan remaja yang akan menghabiskan masa siang mereka dengan belajar dan melakukan aktiviti.

Tidur yang cukup juga mampu mengurangkan risiko penyakit kronik seperti hypertension, obesiti, diabetes dan masalah mental.

American Academy of Sleep Medicine mengesyorkan supaya rutin tidur yang cukup dimulakan untuk bayi berumur 4 bulan hingga 12 bulan, iaitu  tidur 12 hingga 16 jam sehari.

Kemudian, kanak-kanak berumur 1 hingga 2 tahun tidur secukupnya selama 11 hingga 14 jam.

Kanak-kanak 3 hingga 5 tahun pula memerlukan 10 hingga 13 jam sehari.

Menginjak umur 6 hingga 12 tahun, kanak-kanak mestilah tidur selama 9 hingga 12 jam sehari.

Di peringkat remaja, mereka yang berumur 12 hingga 18 tahun memerlukan tidur selama 8 jam hingga 10 jam.

"Tidur yang cukup amat penting untuk kesihatan, dan perlu dimulakan ketika kecil," kata Dr Shalini Paruthi kepada CNN.

Cadangan yang dikeluarkan oleh American Academy of Sleep Medicine terhasil dari 864 penyelidikan.
Secara asasnya, durasi tidur mempengaruhi kesihatan am, daya metabolisma, kesihatan mental, fungsi imun, pertumbuhan dan prestasi selepas tidur.

"Orang ramai perlu tahu betapa pentingnya tidur yang cukup.

"Ini adalah kali pertama kami melakukan penyelidikan yang banyak dan membuat kesimpulan dan membuat cadangan seperti yang tersebut," kata Dr Shalini.


Tiada ulasan: