Khamis, 16 Jun 2016

“Belum Betul-Betul Putus Dengan PAS" - Husam

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 
 
 






SUNGAI BESAR: Naib Presiden PAS yang dipecat Datuk Husam Musa menganggap hubungannya dengan PAS belum terputus sepenuhnya dan masih boleh diperbaiki.

Malahan Husam mengakui tidak terburu-buru memilih hala tuju politiknya pada masa depan dengan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) atau mana-mana parti lain.

Menyifatkan kedudukannya dalam PAS umpama ‘masih dalam pantang’, wakil rakyat ini menetapkan September ini untuk membuat keputusan berhubung pembabitannya dalam politik.

“Saya dan PAS belum betul-betul putus lagi, kalau dalam Islam dipanggil masih dalam edah, tempoh bertenang.

“Saya rasa ada banyak masa lagi sebelum pilihan raya umum, banyak lagi progres politik akan berlaku, jadi tak salah kalau saya sabar sedikit dan pilih masa yang tepat untuk umumkan apa-apa,” katanya kepada pemberita selepas selesai menyampaikan ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pasir Panjang, di sini, malam Rabu.

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor kini menjadi Adun Bebas hadir dan berkempen untuk calon Amanah dan Pakatan Harapan, Azhar Ab Shukur.

Mengulas tindakannya berkempen untuk Amanah, Husam berkata, beliau melihatnya sebagai tanggungjawab untuk memenangkan calon paling berpotensi bagi membetulkan penyelewengan negara yang berlaku pada masa kini.

“Kalau calon PAS lebih berpotensi saya sokong calon PAS, tetapi PAS telah ditolak sebahagian rakyat sebab sikap tidak konsisten dan saya kira calon yang boleh menentang Barisan Nasional adalah Amanah,” katanya.

Katanya, keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar kali ini juga mungkin akan mengubah keputusan PAS yang telah memecatnya melalui surat.

“Saya masih anggap PAS boleh batalkan pemecatan saya. Kalau dua-dua calon PAS kalah teruk, mungkin saya boleh diterima balik dalam PAS,” katanya.

Husam bagaimanapun tidak menerima sebarang balasan terhadap surat yang dihantar kepada Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Biasanya tiada maklum balas, dia akan telan macam tu saja, yang ini sikap PAS yang kurang profesional," katanya.

Pada 6 Mei lepas, Jawatankuasa Tatatertib PAS mengesahkan memecat Husam setelah meneliti aduan salah laku terhadap bekas naib presiden parti itu dan mendapati beliau telah melakukan tindakan serta perbuatan yang menyalahi Fasal 82(1)(b), (c),(d),(e) dan (f), Perlembagaan PAS.

Husam sebelum ini dilihat lantang menyerang parti dan Presiden PAS terutamanya dalam isu dakwaan kerjasama antara PAS dan Umno.

Tiada ulasan: