Isnin, 6 Jun 2016

AMANAH boleh simpan saja harapan ganti PAS di Selangor

FREE MALAYSIA TODAY


Iskandar berkata, walau apapun keputusan PRK Sungai Besar pada 18 Jun ini, PAS akan tetap bersama kerajaan dan memegang kerusi EXCO dalam kerajaan negeri itu.


Iskandar-Abdul-Samad1


SUNGAI BESAR: AMANAH boleh terus menyimpan harapan mereka untuk menggantikan PAS dalam kerajaan Selangor.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, walau apapun keputusan PRK Sungai Besar pada 18 Jun ini, PAS akan tetap bersama kerajaan dan memegang kerusi EXCO dalam kerajaan negeri itu.

“AMANAH perlu ingat, PAS, DAP dan PKR yang membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, sebelum wujudnya AMANAH,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau menjawab desas-desus EXCO PAS perlu meletak jawatan dan digantikan AMANAH sekiranya undi calon Pakatan Harapan melebihi undi PAS dalam PRK nanti.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan calon PAS di Sungai Besar, Dr Abdul Rani Osman.

PRK Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRK ini, Dr Abdul Rani berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon BN yang juga ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi dan calon AMANAH yang juga Pengerusi AMANAH Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur.

Tiga EXCO PAS Selangor ialah Iskandar yang merupakan EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor (EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi) serta Zaidy Abdul Talib (EXCO Infrastruktur Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Iskandar bagaimanapun enggan mengulas kedudukan PAS bagi menghadapi PRU14 kerana masih terlalu awal untuk dibincangkan.– BERNAMA

Tiada ulasan: