Sabtu, 11 Jun 2016

'Orang luar' Rani sedia berdepan pencabar tempatan

PRK SG BESAR | TEMUBUAL Dia mungkin "orang luar" di Sungai Besar tetapi calon PAS Dr Abdul Rani Osman bersedia untuk mencurahkan masanya bagi berkhidmat kepada kira-kira 26,000 pengundi di kawasan yang terletak di timur laut Selangor itu.
 
ADUN Meru itu sudahpun mula mengimbangi masanya di antara komitmen keluarga, ibadat pada bulan Ramadan dan berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) di situ - berdepan dengan calon BN, Budiman Mohd Zohdi dan calon Parti Amanah Negara, Azhar Abdul Shukur.

Temubual Rani dengan media kebanyakannya diadakan selepas berlangsung sidang akhbar parti itu di pusat operasinya di Simpang Lima, Sungai Besar.

"Kadang-kadang ada di kalangan anda menghantar kepada saya senarai soalan dan mengharapkan saya segera menjawabnya. Saya minta maaf kerana saya tak dapat berbuat demikian," katanya.

Jika dia menang pada 18 Jun ini, Rani berkata, pusat operasi itu juga akan menjadi pusat khidmatnya untuk rakyat.

"Saya berjanji untuk berada di sini seminggu sekali, bukan dua kali sebulan," katanya berseloroh semasa temubual bersama itu semalam.

Rani secara berseloroh merujuk kepada kenyataan Azhar baru-baru ini, yang telah diambil di luar konteks.
"Saya orang luar tetapi saya masih akan berada di sini," kata Rani.

Dalam satu ceramah di Sekinchan, Azhar berjanji kepada pengundi yang beliau akan bertemu dengan mereka dua kali sebulan, dengan merujuk kepada lokasi tersebut dan bukannya keseluruhan kawasan Parlimen Sungai Besar seperti yang dilaporkan oleh media tertentu.

Walaupun dilahirkan di Sungai Besar, Azhar hanya berpindah balik semula ke kawasan itu baru-baru ini selepas tinggal di Temerloh.

Rani sendiri berpangkalan di Kapar, Klang.

"Isteri saya sendirian di rumah. Saya berada di sini (di Sungai Besar) lima hari sebelum hari penamaan calon," katanya.

Isterinya, Afidah Anum Moghi, adalah seorang guru Bahasa Inggeris di SMK (P) Kapar.

Esok, Rani berkata, beliau akan meluangkan masa untuk pulang ke rumah dan berjumpa dengan keluarganya.

Mereka dikurniakan dua anak perempuan dan dua anak lelaki - seorang masih belajar di sekolah berasrama penuh dan yang lain di Kaherah, Mesir.

Rani yang berusia 58 tahun itu mengendalikan kliniknya sendiri sebelum dipilih sebagai ADUN pada tahun 2008.

Berkempen pada bulan Ramadan juga merupakan satu cabaran tambahan - bukan sahaja kepada Rani tetapi juga ketiga-tiga orang calon yang bertanding.

Untuk itu, Rani berkata, semasa sahur, beliau akan meminum air yang cukup dan memakan buah kurma untuk tenaga.

"Saya sudah tua, jadi saya tidak boleh ambil makanan yang pedas...," katanya berjenaka.

Rani fasih berbahasa Melayu, Inggeris, Arab dan juga bercakap dialek Jawa tempatan.

'Tak perlu bimbang RUU Hadi'

Semasa berkempen bertemu pengundi Cina, beliau mengadunkan salam dengan istilah Cina dan sering diperkenalkan sebagai "koyok" - perkataan Jawa tempatan bagi doktor.

Mesej utama beliau kepada mereka ialah tidak ada yang perlu dibimbangkan berhubung cadangan pindaan oleh Presiden PAS, Datuk Ser Abdul Hadi Awang bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sambil membayangkan banyak lagi yang harus dilakukan jika dia menang, Rani membuat beberapa janji kepada rakyat.

Selain masalah yang dihadapi masyarakat nelayan dan petani, Rani juga berjanji untuk menyediakan bantuan untuk pendidikan.

"Insya-Allah, saya juga akan memainkan peranan saya untuk mengkritik apa-apa kelemahan dalam pentadbiran kerajaan.

"Ini termasuk kempen untuk memansuhkan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dan berhenti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)," katanya.

Nasihat Nik Aziz

Sementara itu, bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu, turut mengimbau masa ketika bersama allahyarham Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ditanya berapa banyak masa beliau perlukan untuk berehat setiap malam, Rani berkata, beliau hanya tidur beberapa jam, mengikut nasihat Nik Aziz.

"Saya akan... bangun pada pukul 3 pagi atau 4 pagi dan terus berjaga. Itulah nasihatnya (Nik Aziz).

"Beliau berkata, 'Jika anda ada sebarang masalah dengan rakyat, jangan memberitahunya kepada rakyat," kata Rani, sambil menambah beliau turut menunaikan solat malam.

Itu merupakan salah satu rahsianya mencapai kejayaan, katanya.

"Sebagai seorang YB kita mungkin berhadapan dengan lima atau enam masalah sehari. Tetapi apabila kita melakukan solat malam, kita boleh mendapatkan 10 hingga 12 penyelesaian," kata bekas yang dipertua PAS Kapar itu - jawatan yang disandangnya untuk beberapa penggal sehingga pemilihan parti 2015.

Rani juga berkata, Nik Aziz mungkin kelihatan tegas tetapi dia juga suka bergurau.

"Apabila dia melihat saya, dia akan bergurau, 'Mu (kamu) ni bila nak tinggi? Tak tinggi lagi '," kata Rani sambil tersenyum.

Antara ketinggian tiga calon PRK Sungai Besar, Rani adalah yang paling rendah.

Namun Rani sering bergurau mengenainya dengan berkata itu adalah bukti beliau seorang yang rendah diri.

Selepas temu bual itu, Rani meluang masa untuk membaca Al-Quran sebelum bergerak untuk memenuhi jadual kempennya yang ketat, yang akan berterusan sehingga hari pengundian pada 18 Jun.

Kerusi Sungai Besar menjadi kosong selepas penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak.

Tiada ulasan: