Rabu, 29 Jun 2016

Ahli Umno diminta jaga emosi - Bung Moktar

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bong Moktar Radin meminta ahli Umno bertenang dan tidak bertindak mengikut emosi untuk keluar parti ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan pemimpin tertinggi.
 
Sebaliknya berkata semua ahli parti bertunjangkan Melayu itu perlu kembali merapatkan saf masing-masing dan berusaha untuk mengekalkah kedudukan parti berkenaan dan berhenti memecahbelahkan parti dari dalam.
 
"Saya suka berpesan kepada ahli-ahli Umno kita kena bertenang dan harus sentiasa akur dengan keputusan kepimpinan parti, sebab kalau kita terlalu emosi maka parti akan lemah dan runtuh, yang rugi bukan siapa-siapa tetapi ahli-ahli parti dan orang melayu, perkukuhkan berisan kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Bung berkata demikian bagi mengulas tindakan ketua cawangan Umno Bahagian Semporna yang meninggalkan parti sebagai tanda protes Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung keanggotaan Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Jumaat lalu.
 
Bung Moktar turut berkata tindakan menggantung Shafie adalah demi kebaikan dan kepentingan parti secara keseluruhannya.
 
Malah beliau percaya Shafie mampu untuk menghadapi tindakan itu dan meminta semua ahli berdoa agar beliau kembali ke pangkuan Umno.
 
"Pemimpin datang dan pergi perjuangan parti kena diteruskan, saya percaya Datuk Seri Shafie Afdal mampu melakukan yang terbaik, sudah jadi lumrah politik hari ini berkawan esok jadi lawan," katanya lagi.
 
Semalam, 300 daripada 481 ketua cawangan di bahagian itu mengumumkan keluar parti termasuk Naib Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Dr Jaujan Sambakong bersama tiga ketua sayap parti berkenaan.
 
"Saya terkilan sedikit dimana perkara sebegini berlaku di Semporna, ia itu seramai 300 cawangan Umno keluar dari parti, bersama dengan Naib Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri sekali, ini dilihat sebagai tanda protes terhadap kepimpinan parti," tambah Bung Moktar. 
 
Bagaimanapun jumlah itu dinafikan Timbalan Ketua Umno Bahagian berkenaan Datuk Nasir Sakaran.
 
Menurut beliau, hanya sekitar 150 hingga 200 ketua cawangan Umno Bahagian Semporna sahaja yang keluar meninggalkan parti.
 
 

Tiada ulasan: