Jumaat, 24 Jun 2016

500 kes ibu bapa tolak vaksin dalam 3 bulan

FREE MALAYSIA TODAY


Apabila ramai ibu bapa yang menolak imunisasi, maka kelompok imuniti akan hilang menyebabkan jika berlakunya satu kes maka ia akan merebak kepada individu lain dengan lebih cepat.


hilmi-yahya,vaksin


GEORGE TOWN: Terdapat 500 kes ibu bapa menolak suntikan vaksin direkodkan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, jumlah yang tinggi itu menimbulkan kebimbangan kerana ia membahaya dan mendedahkan anak-anak mereka kepada penyakit yang boleh
menyebabkan kematian.

“Saya hairan mengapa ibu bapa masih tidak mahu memberikan imunisasi kepada anak-anak bagi mencegah penyakit. Ia percuma…kerajaan belanjakan lebih RM100 juta setiap tahun untuk menyediakan 12 jenis suntikan vaksin kepada semua kanak-kanak sejak lahir hingga berumur 13 tahun,” katanya selepas majlis sumbangan Aidilfitri kepada 220 orang kurang upaya (OKU) daerah Barat Daya di Pasaraya Mydin Bukit Jambul hari ini.

Dr Hilmi berkata, apabila ramai kalangan ibu bapa yang menolak imunisasi, maka kelompok imuniti akan hilang menyebabkan jika berlakunya satu kes maka ia akan merebak kepada individu lain dengan lebih cepat.

“Ramai ibu bapa yang mempertikaikan tentang vaksin yang disediakan, sebenarnya kami di kementerian terlebih dahulu menyemak dan mengkaji semua vaksin itu bebas daripada khinzir,” katanya.

Dr Hilmi berkata, penolakan suntikan vaksin itu juga berpunca daripada masyarakat kini yang lebih mempercayai maklumat diperoleh berdasarkan pelbagai carian menerusi Internet yang kebanyakannya tidak tepat.

Beliau berkata, kementerian kini giat menjalankan kempen kesedaran termasuk mengadakan perjumpaan dengan pakar-pakar bagi memberikan nasihat kepada ibu bapa di seluruh negara supaya memberikan kebenaran suntikan vaksin kepada anak-anak mereka.

Terdapat 12 jenis vaksin penting perlu diberikan kepada kanak-kanak dan vaksin paling penting ialah vaksin lima serangkai yang bertujuan mengelakkan pelbagai ancaman penyakit termasuk difteria.

“Bagi kes yang maut akibat difteria itu adalah disebabkan tidak mengambil vaksin lima serangkai ini,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang mewajibkan ibu bapa memberikan suntikan vaksin kepada anak-anak mereka, Dr Hilmi berkata, perkara itu belum diputuskan.

Terdapat dua kes kematian disyaki akibat jangkitan difteria, iaitu pada Sabtu lepas di Melaka dan Rabu lalu di Kedah.– BERNAMA

Tiada ulasan: