Rabu, 8 Jun 2016

1MDB: Di sebalik penarikan Moody, bon Energy masih bertaraf 'AA'

Selepas agensi penarafan kredit Moody’s Investor menarik penarafan terhadap bon 1MDB, firma pelaburan negara itu menekankan bahawa bon terbitannya masih mempunyai manfaat penarafan daripada agensi lain.

Ini adalah berhubung bon AS$1.75 bilion (RM7.12 bilion) dengan kadar faedah tetap sebanyak 5.99 peratus yang diterbitkan menerusi 1MDB Energy Limited dan dijangka matang pada 2022.

Dalam satu kenyataan hari ini, 1MDB berkata bon berkenaan masih mempunyai penarafan 'AA' daripada agensi Standard dan Poor, walaupun Moody menarik balik penarafannya.

Di samping itu, ia berkata bahawa penarikan semula penarafan itu dilakukan tanpa sebarang semakan untuk penarafan 'Aa2', yang bermakna ia masih sah pada masa ia dilakukan semalam.

"1MDB mengulangi bahawa kedudukan kewangannya masih kukuh dan syarikat itu kekal fokus terhadap pelaksanaan pelan rasionalisasinya," katanya.

Firma itu merujuk kepada pengumuman Moody semalam bahawa ia menarik balik penarafan 'Aa2' atas "alasan perniagaan sendiri".

Dokumen polisi Moody berhubung penarikan penarafan kredit menyatakan bahawa penarikan semula bermakna agensi berkenaan tidak akan lagi menilai sesuatu yang sebelum ini telah dinilaikannya - dalam kes ini, bon 1MDB Energy.


Tiada ulasan: