KUALA LUMPUR- Jawatankuasa khas siasatan mengenai penyelewengan dana 1MDB yang didakwa oleh Wall Street Journal (WSJ) adalah individu yang layak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata mereka dianggotai oleh individu yang berul-betul berwibawa.

“Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah SPRM yang dilantik, kalau tidak siapa lagi kalau tidak mereka ini untuk mencari kebenaran,” katanya pada sidang media selepas menghadiri rakaman takbir raya di Masjid Khalid Al-Walid dan diikuti majlis berbuka puasa bersama warga Kementerian Pertahanan.

Hishammuddin menjelaskan tidak ada sesiapa boleh meletakkan dirinya melebihi undang-undang negara.

“Biarlah undang-undang dan siasatan menjalankan prosesnya. Jangan kita pula membuat spekulasi untuk memecah-belahkan perpaduan sesama kita di bulan Ramadan dan menuduh orang yang tidak bersalah,” katanya.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO turut mengulas mengenai tuduhan WSJ dan beranggapan ia adalah tuduhan tidak berasas tanpa bukti kukuh.

“Kita serahkan kepada jawatankuasa untuk menyiasat, saya ingatkan kepada orang ramai jangan kita terlalu mengikut emosi, kita mempunyai saluran dan badan-badan tertentu yang untuk tampil ke hadapan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai dalang di sebalik isu ini, Hishammuddin menjawab menjadi lumrah sebagai ahli politik untuk menghadapi dugaan seperti ini.

“Sememangnya macam-macam serangan kepimpinan terhadap kerajaan secara bertalu-talu, ini sudah menajdi adat resam dan juga asam garam kita nak berdepan dengan dunia tanpa sempadan di mana maklumat datang dan keluar tanpa sekatan,” katanya.

Jelasnya, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa perkara ini ke mahkamah adalah yang terbaik dan perkara ini telah dibangkitkan ke dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Jumaat lalu, The Wall Street Journal menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik.
1MDB pula juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, banyak pihak menggesa Perdana Menteri mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ bagi membersihkan nama beliau dan imej negara kerana dakwaan itu melibatkan soal maruah kepimpinan negara di mata dunia.

Najib berkata beliau akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari mengenai bentuk tindakan yang akan diambil berhubung tuduhan itu.

Katanya, perkara tersebut telah dirujuk kepada barisan peguam beliau untuk mendapatkan nasihat dan bentuk tindakan susulan dari segi perundangan dan sebagainya yang boleh diambil di dalam dan luar negara.