SHAH ALAM: Badan Perhubungan Umno Selangor ini menyatakan sokongan
terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang bercadang
mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang membuat tuduhan
terhadap beliau membabitkan isu 1MDB.
Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar berkata tindakan saman perlu dilakukan
bagi membersihkan nama Najib yang juga Presiden Umno daripada semua
tuduhan tersebut.
"Umno Selangor sokong perdana menteri bertindak tegas untuk menyaman
WSJ dan Sarawak Report. Cara nak buktikan (tuduhan) ialah ke mahkamah.
"Kita minta perdana menteri mesti ambil tindakan demi mencari keadilan
untuk beliau," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan
Harga Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Selangor semalam.
Jumaat lepas, The Wall Street Journal (WSJ) menyiarkan laporan yang
mendakwa sejumlah hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB
disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu
dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang
perdana menteri yang dipilih secara demokratik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan