Menteri
Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pengarah Jabatan
Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman melihat kotak
hitam milik helikopter yang terhempas semalam di Kementerian
Pengangkutan hari ini.- Foto Bernama
PUTRAJAYA - Helikopter yang terhempas di Semenyih semalam tidak membuat
sebarang panggilan kecemasan, dan ia mematuhui laluan penerbangan yang
diluluskan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata Kawalan Trafik Udara (ATC) tidak merekod sebarang
perbualan dengan juruterbang helikopter itu dan ia adalah normal.
"Adalah normal (helikopter) untuk terbang selepas mendapat kebenaran
kecuali ia memerlukan keperluan (untuk menghubungi ATC)," katanya pada
sidang media di sini, hari ini selepas kotak hitam helikopter malang itu
diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan.
"Kami juga memeriksa sama ada terdapat panggilan "Mayday" atau
panggilan kecemasan tetapi kami tidak menemui sebarang panggilan," kata
beliau.
Menurutnya laluan penerbangan yang diluluskan bagi helikopter itu
meliputi kawasan terbentang luas - Kuantan, Pekan, Muadzam Shah, Bandar
Tun Razak, Kuala Klawang, The Mines, Petaling Jaya dan berakhir di
Subang.
Tiong Lai berkata, juruterbang helikopter Dauphin AS3655N2 (9M-1GB)
itu, CliffordWilliam Fournier Jr., mempunyai lesen sah bagi pemanduan
pesawat jenis itu sejak 2012.
"Beliau telah menerbangkan pesawat sejak 2002 dengan hampir 13 tahun pengalaman terbang," katanya.
Tiong Lai berkata helikopter itu mempunyai perakuan layak terbang di
bawah kategori Persendirian, yang kali terakhir diperbaharui pada 13
Februari tahun ini dan sah sehingga 8 Feb tahun depan.
Dikeluarkan oleh Airbus Helicopter, dan dahulunya dikenali sebagai
Eurocopter France, pesawat itu dikeluarkan pada 1990 dan jangka hayatnya
berusia 25 tahun setakat April tahun ini, katanya.
Penyenggaraan pesawat dijalankan oleh Airbus Helicopters Malaysia Sdn
Bhd dan pemeriksaan terakhir dibuat pada 29 Jan tahun ini manakala ujian
penerbangan dijalankan pada 9 Februari.
"Pesawat ini disahkan mempunyai tahap keselamatan yang diluluskan," kata beliau.
Ting Lai berkata, Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan pasukan
penyiasat yang diketuai Datuk Yahya Abdul Rahman, seorang penyiasat
dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam siasatan kemalangan helikopter.
Pasukan itu mengandungi empat anggota manakala wakil yang bertauliah
dari Perancis juga akan dijemput memandangkan negara itu mereka bentuk
dan mengeluar pesawat dan enjin, katanya.
Ting Lai berkata, kotak hitam pesawat malang itu yang dibawa keluar
dari lokasi nahas hari ini, akan dihantar ke Biro Penyiasatan Kemalangan
Udara (AAIB) di Farnborough, United Kingdom untuk analisis secara
terperinci bagi mengenal pasti punca tragedi.
"Kami memerlukan masa untuk mengeluarkan data (kotak hitam) dan juga
masa untuk menganalisis data," katanya, sambil menambah ia mungkin
mengambil masa kira-kira tiga hari untuk mengeluarkan data dan seminggu
lagi untuk menganalisisnya.
"Kami komited untuk mencari punca nahas itu," kata beliau.
Helikopter itu, yang membawa enam orang, terhempas di kawasan kebun getah di Semenyih, Selangor, pada 4.55 petang.
Mereka yang terkorban ialah Anggota Parlimen Rompin yang juga Pengerusi
Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ketua
Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, pembantu
operasi Fournier Aidana Baizieva, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang
dan pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin
Abdul Rahman berkata Baizieva bukan pembantu juruterbang helikopter
kerana helikopter itu tidak memerlukan pembantu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan