MALAYSIAKINI
Spekulasi muncul kenapa terdapat seorang warganegara Kyrgystan dalam
helikopter yang terhempas di Semenyih dan mengorbankan enam orang pada
Sabtu.
Aidana
Baizieva, salah seorang penumpang dalam helikopter itu, tetapi tidak
seperti pihak lain, identitinya masih misteri setakat ini.
Mayatnya telah dikenal pasti hari ini oleh seorang wanita, dipercayai anggota keluarga, yang enggan bercakap kepada media.
Seorang pegawai kedutaan Kyrgystan mengesahkan kerakyatan Aidana dan memberitahu mStar bahawa dia berada di Malaysia sekurang-kurangnya setahun.
Maklumat lain, daripada laporan The Malaysian Insider, menyebut Aidina masih bujang.
Aidana dikenal pasti oleh Kementerian Pengangkutan pada Sabut malam sebagai pembantu operasi helikopter.
Spekulasi menyebut bahawa beliau pembantu juruterbang tetapi Ketua
Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata
dia bukan pembantu juruterbang kerana helikopter itu tidak memerlukan
pembantu.
Menteri: Pekerja syarikat penerbangan
Dakwaan bahawa seorang wanita bertudung yang bergambar bersama
juruterbang helikopter itu Clifford William Fournier itu sebagai Aidana
juga ternyata palsu.
Selain Aidana dan Fournier, penumpang lain dalam helikopter itu ialah
anggota Parlimen Rompin Jamaluddin Jarjis, setiausaha sulit perdana
menteri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang serta pengawal
peribadi Jamaluddin, Razakan Seran.
Kumpulan itu sebelumnya hadir ke majlis perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pekan, Pahang.
Punca nahas masih disiasat.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pengangkutan Datuk
Seri Liow Tiong Lai hari ini turut mengulas mengenai identiti Aidana
yang menimbulkan tanda tanya.
Liow sekali lagi menegaskan mangsa wanita itu adalah kakitangan syarikat
penerbangan berkenaan dan bukan pembantu juruterbang, lapor Bernama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan