Selasa, 7 April 2015

Siapa Aidana Baizieva Kekal Misteri, Gambar Di Media Sosial Dipercayai Bukan Wajah Sebenar



Siapakah sebenarnya wanita misteri yang dipercayai bernama Aidana Baizieva yang turut terbunuh dalam tragedi nahas helikopter di Semenyih Sabtu lalu?

Apakah itu nama sebenarnya atau yang terbunuh itu mempunyai nama yang lain?

Dalam nahas itu, enam penumpang yang terdiri daripada Jamaluddin Jarjis, Ahli Parlimen Rompin, Azlin Alias, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Tan Huat Seang, seorang ahli perniagaan, juruterbang bernama Clifford, pegawai polis yang dikenali Razakan dan seorang wanita yang belum dipastikan identitinya, telah terbunuh.

Semua orang tertanya-tanya siapakah sebenarnya wanita itu dan bagaimana beliau boleh berada diatas helikopter yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur daripada menghadiri kenduri kahwin anak Najib di Pekan, Pahang itu?

Aidana dipercayai berasal dari Krysgtan, sebuah negara di Asia Tengah, beragama Islam dan masih bujang. Beliau juga dikatakan baru lebih kurang setahun berada di negara ini. Mayatnya masih berada di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur dan belum dituntut oleh warisnya.

Wakil Kedutaan Krysgtan semalam dilaporkan ada mengunjungi Hospital Kuala Lumpur untuk melakukan pengecaman tetapi tidak diketahui apakah hasilnya.

Sebelum ini Aidana dilaporkan adalah pembantu juruterbang tetapi apabila didedahkan bahawa helikopter biasanya tidak mempunyai pembantu, beliau dikatakan pula hanyalah kakitangan Cempaka Helikopter Sdn Bhd, syarikat yang menguruskan pesawat tersebut.

Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai juga semalam mengesahkan Aidana adalah kakitangan syarikat itu, tetapi apa kedudukan, peranan dan  keperluannya beliau berada di atas helikopter untuk ke majlis kenduri kahwin anak Perdana Menteri masih tidak diketahui.

Helikopter juga tidak mempunyai pramugari seperti kapalterbang. Biasanya hanya pilot seorang saja yang mengendalikannya. Lalu, apa tugas dan peranan sebenar Aidana tambah membingungkan lagi.

Tetapi seorang kenalan yang mengetahui mengenai Cempaka Helikopter memberitahu, syarikat itu memang mempunyai beberapa kakitangan daripada negara blok Asia Tengah itu.

Sementara itu, gambar-gambar Aidana yang banyak tersebar di laman-laman sosial juga bukanlah gambarnya yang sebenar. Rupa dan nama sebenar wanita yang terbunuh itu masih lagi tidak diketahui sehingga kini.

Gambar yang tersebar itu dipercayai dipetik daripada web Krysgtan, gaukhara.com di mana gambar itu serupa dengan nama yang dikenali sebagai Aidana Karabasova. Identitinya ditulis sebagai wartawan.

Bagaimanapun lawan web itu sudah tidak boleh dibuka lagi sekarang ini. Saya yang sempat membuat "salinan" laman itu masih lagi memilikinya dan di situ tertera beberapa remaja lelaki dan wanita yang lain.

Selain gambar Aidana itu dipercayai palsu, gambar yang tersebar luas kononnya Jamaluddin Jarjis sempat berselfie di atas helikopter bersama seorang juruterbang dan dua rakannya yang lain, seorang lelaki dan wanita adalah juga palsu.

Gambar itu bukan gambar terakhir di sebelum mereka terhempas. Ini kerana juruterbang itu bukanlah Kapten Clifford Fournier yang terbunuh dalam nahas tersebut.

Seorang rakan yang terlibat dalam industri penerbangan dan mengenali Clifford mengesahkan bahawa juruterbang yang berselfie dengan Jamaluddin Jarjis itu bukanlah juruterbang yang terbunuh itu.

Ia adalah juruterbang lain dan mungkin diambil ketika penerbangan yang lain.

Tetapi semua ini menjadikan segala-galanya terus menjadi tanda-tanya. Di bursa politik dan perbualan kedai kopi, tersebar pelbagai andaian dan tafsiran mengenai siapakah sebenarnya wanita misteri yang mungkin bernama Aidana itu?

Apakah benar ia kakitangan syarikat helikopter itu dan apa keperluannya menaiki pesawat itu? Jika bukan  kakitangan Cempaka Helikopter pula, yang menjadi persoalan, apakah mungkin beliau mempunyai hubungan dengan salah seorang penumpang yang terbunuh itu?

Seorang wakil rakyat Pahang, Adun Bukit Ibam, Wan Kadri Wan Mahussin yang turut menaiki helikopter tersebut tetapi turun di Kota Bahagia dan terselamat dari nahas, mungkin dapat menjawab persoalan mengenai wanita misteri itu.

Sehingga kebenaran terserlah, semuanya akan terus menjadi misteri dan teka-teki. Di ketika yang sama, perbualan mengenai identiti wanita itu makin rancak di mana-mana ketika ini.

Secara umumnya kita memang agak kurang mengenai banyak negara di Asia Tengah yang kebanyakannya berakhir dengan "Tan". Sebelum ini kita mungkin hanya biasa mendengar nama Kazakhstan, itu pun setelah anak Najib bertunang dan berkahwin dengan lelaki daripada negara itu.

Kini, mungkin nama Krysgtan pula menjadi popular serta meniti di bibir ramai orang. 



Inilah wajah sebenar Clifford, juruterbang yang terbunuh itu...
Inilah lawan web yang dipercayai gambar Aidana diperolehi tetapi sudah tidak boleh dibuka lagi..

Berita dan gambar wanita yang terbunuh dalam nahas itu mula tersebar sejak dua hari lalu...


Tiada ulasan: