MALAYSIAKINI
Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato' Menteri Besar Selangor kerana
memberi respon terhadap sesetengah isu yang saya bangkitkan meskipun
jawapan beliau lebih kepada cubaan untuk memperlekehkan legasi saya
selaku mantan menteri besar.
Apatah lagi isu yang sangat penting yakni penstrukturan semula industri air tidak disentuh sama sekali.
Sesungguhnya, rakyat Selangor berhak mendapat penjelasan dan kepastian
terutama tentang komitmen beliau dalam memuktamadkan segera penyusunan
semula industri air pada kos keseluruhan tidak melebihi RM9.65 bilion;
langkah-langkah mengambilalih Splash, satu-satunya syarikat konsesi yang
masih berdegil dan penamatan serta-merta perjanjian penswastaan berat
sebelah dengan semua syarikat konsesi.
Kita semua, lebih-lebih lagi pemimpin, sepatutnya tahu ada perbezaan
yang besar antara keberanian melulu dan kebijaksanaan terpimpin dalam
membuat keputusan.
Apa gunanya berani persis panglima perang sekiranya strategi dan teknik
yang digunapakai bakal menyebabkan kita menang satu pertempuran tapi
kalah di dalam peperangan.
Ambillah iktibar dan pengajaran daripada kisah nasib malang Pak Kaduk
yang menang bersorak, kampung tergadai akibat kedunguan dan kejahilan
beliau.
Kelayakan, kredibiliti dan integriti seorang pemimpin bukan diukur atas
neraca keberanian tetapi lebih bersandarkan keupayaan dan kebijaksanaan
hakiki.
KIDEX jadi sandaran
Memandangkan menteri besar menjadikan isu KIDEX sebagai sandaran,
sekiranya Dato' Menteri Besar terlupa atau terlepas pandang, saya
ingatkan bahawa kerajaan negeri terikat dengan Jadual Kesembilan
Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bidang kuasa dan prerogatif
bagi kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sama ada di bawah senarai
persekutuan, negeri atau bersama.
Jika diteliti Jadual Kesembilan tersebut, amat jelas bahawa projek KIDEX
terletak di bawah bidang kuasa penuh kerajaan persekutuan memandangkan
perkara-perkara berkaitan komunikasi dan pengangkutan serta kontrak
kerajaan persekutuan termasuk dalam senarai persekutuan.
Hakikatnya, skop dan capaian bidang kuasa kerajaan persekutuan dalam
hal-ehwal berkepentingan awam sangat meluas dan hampir mutlak.
Dalam pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, peranan kerajaan
negeri tidak lebih daripada memberi nasihat dan tiada kuasa menolak
projek kerajaan persekutuan.
Malah, walaupun sebarang perkara berkaitan tanah di bawah senarai
negeri, perancangan pembangunan bandar dan desa masih tertakluk di bawah
senarai bersama.
Meskipun KIDEX tidak termasuk dalam draf Rancangan Struktur Negeri
Selangor 2035 dan pelan rancangan tempatan Majlis Bandaraya Petaling
Jaya yakni hujah Seksyen 18(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976
mungkin boleh dipertimbangkan, saya amat khuatir akan keterdedahan
kerajaan negeri kepada implikasi perundangan dan kewangan akibat
pengumuman pembatalan pada 16 Februari 2015.
Saya difahamkan kerajaan persekutuan sedang meneliti semua aspek berkaitan bersama Jabatan Peguam Negara.
Sebenarnya, pengumuman pembatalan projek ini aneh dan diragui
kesahihannya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri kerana ia tidak
terlibat langsung dalam perjanjian konsesi yang ditandatangani di antara
syarikat konsesi dan Kerajaan Persekutuan pada 16 November 2013.
Terdapat juga percanggahan hujah dalam alasan pembatalan di mana
syarikat konsesi didakwa gagal memenuhi kesemua syarat yang ditetapkan
dalam tempoh yang diberi sehingga 14 Februari 2015 sedangkan syarikat
konsesi dan kerajaan persekutuan mendakwa sebaliknya.
Berpandukan krisis KIDEX, kita tidak dapat menolak kemungkinan pelabur
swasta akan berfikir berulang kali sebelum membuat keputusan melabur di
Selangor khususnya dalam pembinaan infastruktur pengangkutan awam.
Saya kira perlu dimaklumkan kepada rakyat juga ketika saya mengetuai
Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES), persetujuan secara prinsip atau
kelulusan bersyarat yang diberikan pada 23 Februari 2012 sebenarnya
tertakluk kepada empat prasyarat yang wajib dipenuhi oleh syarikat
konsesi dalam tempoh masa yang mencukupi sebelum kebenaran merancang
boleh dikeluarkan:
(1) Hasil laporan penilaian impak lalu lintas (TIA), impak alam sekitar (EIA) dan impak sosial (SIA)
(2) Unjuran kewangan lengkap mengenai pulangan pelaburan modal oleh syarikat konsesi untuk menetapkan tempoh tol perlu dikenakan
(3) Unjuran margin keuntungan bakal dikaut
(4) Sesi engagement di antara syarikat konsesi, Lembaga
Lebuhraya Malaysia (LLM) dan penduduk yang bakal terkesan, dimudah cara
oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)
Setelah kepimpinan pentadbiran negeri bertukar, rakyat sepatutnya
dimaklumkan bahawa barisan exco yang baharu hanya membuat keputusan
berdasarkan ketetapan dan faktor pertimbangan yang saya gariskan dahulu
selaku menteri besar.
Memang mudah mengumumkan pembatalan, tidak kiralah sama ada pembatalan
projek atau kelulusan pembangunan tetapi apakah solusi alternatif
kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah dasar iaitu kesesakan lalu
lintas teruk berdasarkan aduan rakyat di Lembah Kelang terutama di
kawasan berkenaan?
Sekali lagi saya tegaskan bahawa keupayaan mencadangkan penyelesaian
alternatif yang boleh dilaksanakan pada kos yang setimpal dan impak
negatif minimum merupakan ujian sebenar kewibawaan, kaliber dan nilai
teras seorang pemimpin.
Kembali ke tender zaman BN
Mengenai dasar perolehan kerajaan negeri, rakyat perlu diingatkan bahawa
sistem tender terbuka melalui kaedah "cut-off" telah digunapakai oleh
pentadbiran BN sebelum 2008 tetapi telah saya tamatkan.
Ini kerana ia terbukti tidak menitikberatkan prinsip kompetensi,
ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti di samping membuka ruang
kepada perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.
Keberkesanan sistem tender terbuka berdasarkan prinsip value for money
yang saya laksanakan sejak 2009 di mana kontrak Kerajaan Negeri
dianugerahkan kepada sebut harga paling kompetitif jelas terbukti
apabila Dato' Menteri Besar sendiri mengumumkan minggu lepas di dalam
Dewan Negeri Selangor bahawa kerajaan negeri mencapai penjimatan
bernilai RM430.221 juta di antara 2011 dan 2014 yakni setara dengan
purata tahunan sebanyak RM107.56 juta.
Logik akal manusia waras yang benar-benar ikhlas ingin melaksanakan
prinsip-prinsip urus tadbir yang baik serta menentang gejala ketirisan,
pembaziran dan amalan rasuah sudah pasti tidak akan sekali-kali
bersetuju dengan apa jua justifikasi yang diberi oleh pentadbiran baharu
untuk mewajarkan keputusan membatalkan satu kaedah yang terbukti
berkesan di era pentadbiran saya.
Lebih parah lagi, digantikan pula dengan kaedah yang telah digunapakai
sebelum 2008 biarpun dijenamakan semula sebagai kaedah "cut-off" yang
diubahsuai.
Jika kita teliti laporan akhbar dan aduan rakyat, pelbagai isu
perkhidmatan awam yang disediakan PBT tidak diselesaikan pada hujung
2014 seperti yang Dato' Menteri Besar janjikan malah semakin teruk.
Sampah terus berlonggok
Longgokan sampah-sarap bukan di tempat pembuangan masih berleluasa,
sistem perparitan dan longkang masih tersumbat, semak-samun di taman
perumahan masih kelihatan, jalan-jalan tidak bersapu masih kerap.
Ini semua bukti kegagalan kaedah "modified cut-off" ini yang
sebenarnya amat mencurigakan tetapi telah dimomokkan sebagai
penyelesaian terbaik bagi semua masalah berkaitan PBT atau seumpamanya.
Hakikatnya, sistem tender terbuka yang mempunyai seribu macam kebaikan
telah tercemar kerana kaedah "cut-off" sebegini yang membenarkan kontrak
diberikan kepada pembida yang bukan terendah bakal membuka ruang kepada
perbincangan tertutup (back-door negotiations) sekaligus
terdedah kepada amalan rasuah serta salah guna kuasa, salah urus dana
awam dan salah laku berkaitan dana awam yang lain.
Malang sekali nasib rakyat Selangor kerana akhirnya, mereka yang rugi
kerana terpaksa membayar lebih bagi hasil kerja atau perkhidmatan yang
ala kadar dan tidak setimpal dengan dana awam yang dibelanjakan.
Sekiranya yang menjadi masalah adalah wujudnya kontraktor yang culas
dalam pengendalian tugasan yang diberi atau gagal menyempurnakan projek
dalam tempoh masa dan/atau mengikut spesifikasi yang ditetapkan, maka
sepatutnya pentadbiran baharu berusaha mencari mekanisme inovatif lain
untuk menangani masalah tersebut di samping menambah baik sistem sedia
ada yang terbukti memberi faedah besar kepada rakyat.
Nampaknya, memikirkan satu mekanisme lain yang memerlukan analisa
terperinci dan kepakaran spesifik terlalu membebankan bagi Dato' Menteri
Besar dan para penasihat kanan beliau.
Sebaliknya, tanpa rasa bersalah, beliau sewenang-wenangnya mengambil
jalan pintas dan mudah dengan mengguna pakai semula sistem lama yang
hanya diberi sentuhan kosmetik.
Hakikatnya, sangat mudah menjadi pemimpin oportunis dengan membuat
kenyataan atau keputusan yang popular dan lunak didengar tanpa perlu
memikirkan impak dalam segala segi dan gambaran sebenar situasi atau
kemampuan hakiki memenuhi sebarang janji manis.
S'gor juga kena GST
Saya hanya mampu tersenyum apabila melihat di dada akhbar dan portal
baru-baru ini kononnya negeri Selangor menentang GST sedangkan kita tahu
hakikatnya, semua PBT telah diarahkan memaklumkan rakyat di semua
peringkat bahawa GST akan dikuatkuasakan mulai 1 April 2015.
Rakyat perlu sedar daripada terus dibuai mimpi indah bahawa kenyataan
tersebut yang dibuat oleh Dato' Menteri Besar di dalam Dewan Negeri
Selangor pada minggu lepas tidak akan merubah apa-apa kerana hakikatnya,
Selangor tidak akan sama sekali dikecualikan daripada melaksanakan GST!
Saya yakin kayu ukur sama ada seorang pemimpin itu semata-mata seorang
politikus profesional atau seorang negarawan terbilang terletak pada
ketulusan niat memberi yang terbaik kepada rakyat yang akan terserlah
melalui keutuhan perjuangan, kesungguhan usaha dan pencapaian sebenar
sepanjang hayat.
Namun, berdasarkan apa yang kita alami dan saksikan sendiri sejak hujung
bulan September 2014, jelas bahawa Dato' Menteri Besar perlu berusaha
lebih gigih untuk layak digelar negarawan kerana masih bersendikan
retorik dan sandiwara politik.
Kalau beginilah gaya dan pendekatan pentadbiran baharu, maka saya ulangi
gesaan agar Dato' Menteri Besar segera berundur untuk diserahkan
jawatan kepada seseorang yang benar-benar layak demi kemaslahatan
rakyat.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan