MALAYSIAKINI
Saya amat kecewa dan terkejut apabila bangun pada pagi 7 April 2015 dan
mendapati bahawa Akta Pencegahan Keganasan atau Prevention of Terrorisme
Act (POTA) telah diluluskan di Parlimen setelah dibahaskan dan diundi.
Walaupun saya sudah menjangka rang undang-undang tersebut bakal
diluluskan dengan ‘rubber stamp’ oleh ahli Dewan Rakyat daripada BN.
Nnamun saya berharap ia tidak akan diluluskan begitu cepat dan tanpa
pindaan walaupun telah ditentang bermati-matian oleh wakil rakyat
Pakatan Rakyat.
Ini bermakna igauan ngeri Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan pada 2012 datang kembali!
Ya, bukan setakat mimpi tetapi igauan buruk kerana selama berpuluh-puluh
tahun sejak 1960 ISA digubal, pelbagai penganiayaan, penyeksaan, salah
guna kuasa, pencabulan kemanusiaan dan keadilan telah berlaku.
Ini telah dicatatkan sebagai fakta dalam surat akuan bersumpah
(afidavit), memorandum kepada Suhakam, memorandum kepada kerajaan dan
pembangkang, memorandum kepada menteri, memorandum kepada Jawatankuasa
Fatwa Kebangsaan dan mufti-mufti, laporan kepada Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kes saman oleh bekas tahanan dan buku-buku
yang ditulis sendiri oleh bekas tahanan.
Apakah segala usaha demikian perlu dikembalikan untuk memansuhkan POTA
pula? Apakah rakyat terpaksa bangkit semula berjuang untuk memansuhkan
POTA?
Semasa memimpin Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), saya melihat sendiri
penderitaan dan pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh tahanan dan ahli
keluarga.
Mereka terpinga-pinga apabila suami atau ayah mereka ditahan tanpa sebab
melainkan dikatakan telah mengancam keselamatan negara. Mereka tambah
hiba apabila tidak diberitahu di mana suami atau ayah mereka ditahan.
Dan hancur harapan mereka apabila mendengarkan suami atau ayah mereka
ditahan selama dua tahun dan boleh dilanjutkan dua tahun secara
berterusan tanpa boleh membela diri atau menyemak keputusan menteri.
Dangkal, tak berprinsip
Ungkapan seperti "tak perlu takut pada POTA, kalau tak buat salah" oleh
menteri amatlah dangkal dan tidak berprinsip. Ia serupalah juga seperti
berkata kita tak perlu takut pada perompak yang pegang pistol ke arah
kita, kalau kita tidak bersalah!
Pada masa yang sama, untuk mewajarkan sokongan kepada POTA kerana ia
demi kepentingan rakyat dan negara adalah rumusan mudah yang tidak
berpegang kepada fakta, sejarah dan pengajaran lampau.
ISA dahulu juga dikatakan wujud untuk melindungi rakyat dan negara
daripada ancaman keselamatan tetapi sejarah telah membuktikan ramai ahli
politik, aktivis dan rakyat biasa ditahan, diseksa, disoal siasat tanpa
apa-apa kaitan dengan keselamatan negara, sebaliknya kerana motif
politik.
Benar, POTA tidak akan dikenakan kepada ahli politik kerana kepercayaan
atau ideologi politik mereka tetapi pokoknya pelanggaran keadilan dan
hak asasi manusia tidak boleh berlaku kepada sesiapa, tidak kira sama
ada ahli politik, kakitangan kerajaan, pihak keselamatan, peniaga,
penoreh, petani, cikgu, mahasiswa atau rakyat biasa!
Definisi keselamatan negara dalam ISA terlalu kabur seperti mana juga
definisi ‘terlibat’ dan ‘menyokong’ dalam POTA. Apakah usaha-usaha
membantu kebajikan keluarga tahanan POTA akan dianggap sebagai
‘menyokong’?
Jaminan menteri dalam negeri bahawa POTA akan melindungi hak asasi
manusia tahanan dan bukan menggantikan ISA bagi saya merupakan satu
jaminan yang terhormat tetapi sangat bercanggah dan mustahil ditunaikan.
Bagaimanakah hak asasi manusia boleh dilindungi apabila seseorang itu
tiada hak perbicaraan atau pembelaan di bawah POTA? Bukankah itu
bercanggah dengan hak asasi manusia?
Hati-hati dalam membuat jaminan terutama apabila kita bergantung kepada
kumpulan lain yang mungkin ada kefahaman lain atau tidak memahami erti
hak asasi manusia.
Perkara paling asas dalam hak asasi manusia dan keadilan ialah hak untuk
tidak didapati bersalah sehingga dibuktikan bersalah atau innocent
until proven guilty.
Nasi jadi bubur
Dengan POTA, anda didapati bersalah tanpa penghakiman mahkamah dan
ditahan selama 59 hari serta boleh dilanjutkan tahanan selama dua tahun
dengan arahan oleh Lembaga Pencegahan Keganasan, bukan sebuah mahkamah
tetapi sebuah lembaga yang dipilih oleh kerajaan.
Pada masa yang sama, keputusan Lembaga Pencegahan Keganasan tersebut
tidak boleh dicabar oleh mahkamah. Kalau ISA dahulunya, keputusan
ditangan menteri dalam negeri tetapi sekarang keputusan di tangan
Lembaga. Namanya berbeza tetapi kuasa tetap sama dan tidak boleh
dicabar.
Tambah buruk, peruntukan undang-undang habeas corpus juga tidak
dibenarkan di bawah POTA iaitu peruntukan mencabar undang-undang atas
dasar teknikal. Nampaknya POTA tidak menggantikan ISA tetapi POTA lebih
kebal daripada ISA!
Justeru saya ingin soal perdana menteri dan menteri dalam negeri, di
manakah agenda transformasi politik yang dilaungkan sebelum ini dengan
pemansuhan ISA, akta kediaman terhad dan Ordinan Darurat apabila POTA
2015 digubal dan Prevention of Crime Act (POCA) dipinda dan diketatkan?
Bukankah kita sudah ada SOSMA (yang juga bermasalah) dan Kanun Keseksaan lain yang boleh menangani jenayah keganasan?
Saya memahami soal keselamatan dan keganasan memerlukan pencegahan
tetapi ciri-ciri dan prinsip utama seperti keadilan, kebebasan dan
keehsanan tidak boleh digadaikan.
ISA bercanggah dengan semua ciri dan prinsip ini termasuk tuntutan agama
dan ketamadunan. Begitu juga POTA. Berkali-kali dan bertahun-tahun GMI
dan rakyat menegaskan perkara ini sehinggalah ISA dimansuhkan.
Cuma apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur. POTA diluluskan oleh
Parlimen yang diwakili oleh majoritinya wakil rakyat BN pada 7 April
2015.
Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan
seluruh wakil rakyat BN wajib bertanggungjawab jika berlaku kezaliman,
ketidakadilan, pencabulan hak asasi manusia, salah guna kuasa dan
pelanggaran hak kemanusiaan dengan wujudnya POTA, POCA, SOSMA dan Akta
Hasutan (dengan pindaan yang bakal diluluskan).
SYED IBRAHIM SYED NOH ketua penerangan PKR dan mantan pengrusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan