Jumaat, 3 April 2015

PKR cuba rampas sambutan 1 Mei

 
Ahli PSM mempertikaikan arahan PKR kepada penyokong mereka supaya memakai pakaian hitam sedangkan MayDay lebih sesuai pakaian merah


pkr_gst_600


PETALING JAYA: Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merancang menganjurkan perhimpunan membantah GST dan menuntut pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei ini telah membangkitkan kemarahan anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Mereka mendakwa PKR mahu ‘merampas’ semangat sambutan Hari Pekerja apabila merancang untuk berhimpun di Dataran Merdeka, lokasi yang sama untuk perhimpunan yang digelar #MayDay2015.

Ahli PSM juga mempertikaikan arahan PKR kepada penyokong mereka supaya memakai pakaian hitam pada hari berkenaan kerana ia dianggap boleh menggelirukan peserta-peserta perhimpunan #MayDay2015 yang sepatutnya memakai pakaian merah.

“MayDay is alwas red-lah bahalol. Keji sungguh perangai korang hijack MayDay suka-suka declare tema hitam,” tulis seorang ahli PSM, Harris Nasril di laman Facebook.

Satu lagi status yang dikemas kini pada 2 April, Harris menulis tiada ahli politik yang akan dibenarkan untuk berucap pada hari berkenaan kerana ia adalah hari untuk rakyat berhimpun.

“No way politician nak ceramah masa tu. MayDay hari pekerja. Hari rakyat. Hari korang nak demo bebas Anwar buatlah hari Sabtu the next day.

“Tahun lepas korang politician dah hijack MayDay tahun ni nak hijack lagi?, “ tulisnya.

Seorang lagi Ahli PSM, Ahmed Natasya pula memuatkan status seolah-olah cuba mencabar Pakatan Rakyat ‘merampas’ Mayday.

“Berani Pakatan Rakyat hijack mayday? Try la.” tulisnya di Facebook.

Perhimpunan #MayDay2015 akan digerakkan gabungan anak muda daripada pelbagai latar belakang yang tidak berasaskan parti politik bertujuan menyeru semua rakyat Malaysia yang sudah jemu dengan hala tuju politik dan risau masa depan negara yang semakin gelap akibat krisis ekonomi, sosial, masalah perkauman dan isu-isu rakyat yang kian mencengkam.

#MayDay2015 juga bagi menunjukkan kejelikan anak-anak muda terhadap parti politik yang telah gagal membawa agenda rakyat sebaliknya sibuk dengan retorik dan kepentingan parti politik masing-masing.

Sementara itu, Setiausaha Agung PSM, S. Arutchelvan menafikan cubaan PKR ‘merampas’ #MayDay2015 dan menegaskan berhimpun adalah hak untuk semua rakyat Malaysia.

“Momentum utamanya adalah mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi membantah GST,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata, warna tema dan lokasi perhimpunan itu sama ada di Dataran Merdeka atau di KLCC hanya akan diumumkan pada 6 April selepas Jawatankuasa Sambutan selesai bermesyuarat.

Tiada ulasan: