Isnin, 6 April 2015

PAS Kota Raja, P'jaya pilih regu Hadi-Tuan Ibrahim

MALAYSIAKINI


PAS kawasan Kota Raja, Selangor dan Putrajaya mencalonkan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bertanding jawatan timbalan presiden, yang kini disandang Mohamad Sabu.

Kedua-dua kawasan berkenaan turut mencalonkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya terus mempertahankan jawatan presiden, lapor Bernama.

Yang Dipertua Kota Raja, Jaafar Kassim berkata, melalui undian hari ini semua anggota bersetuju mencalonkan Tuan Ibrahim untuk bertanding jawatan itu di samping mahu terus mengekalkan Hadi sebagai presiden.
  
"Ramai ahli mahukan jawatan tertinggi PAS pusat dimonopoli oleh golongan ulama dan berikutan itu Mohamad tidak dicalonkan," katanya kepada pemberita selepas selesai Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kota Raja di Klang hari ini.
  
Agensi berita itu juga menyebut Jaafar berkata anggota PAS kawasan itu percaya dengan semangat dan kredibiliti Hadi untuk terus meneraju dan memperjuangkan semangat parti berkenaan.

Di samping itu, laporan itu juga menyebut, mesyuarat turut sebulat suara memilih Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub dan Dr Mariah Mahmud untuk jawatan naib Presiden.

Sementara itu, dalam laporan yang lain, Bernama melaporkan PAS kawasan Putrajaya mencalonkan AJK PAS Pusat Nasaruddin Tantawi; Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Samad dan MP Bukit Gantang Idris Ahmad sebagai naib presiden PAS.  



Tiada ulasan: