Sabtu, 18 April 2015

Lelaki Disimbah Asid oleh Isteri Meninggal Dunia

RAKYATNEWS

 
 


GEORGE TOWN - Lelaki yang cedera parah selepas disimbah asid oleh isterinya di sebuah unit pangsapuri di Gat Lebuh Macallum di sini pada 17 Februari lepas meninggal dunia hari ini, menurut polis.

Low Yew Thean, 47, disahkan mati pukul 3 pagi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan 'melecur akibat bahan kimia'.

"Lelaki itu mengalami kesan melecur teruk 36 peratus di sebahagian muka, mata dan tubuhnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.40 pagi itu, lelaki berkenaan disimbah asid ketika sedang tidur dan dijumpai menjerit kesakitan di atas katilnya oleh pengawal keselamatan pangsapuri itu.

Pasangan yang berkahwin selama lima tahun dan tidak mempunyai anak itu dikatakan sering bertengkar sebelum kejadian.

Wanita rakyat Thailand berusia 29 tahun itu turut mengunci rumah mereka sebelum melarikan diri dengan kereta Grand Livina milik suaminya.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, kematian lelaki Myanmar yang mayatnya ditemukan dalam kotak kayu di atas bumbung sebuah rumah kedai di Lebuh Victoria di sini semalam, adalah akibat dibunuh.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala dan kesan tikaman di rusuk," katanya.

Beliau berkata polis mengklasifikasi kejadian itu sebagai kes bunuh dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Mayat lelaki tanpa dokumen pengenalan diri itu dijumpai disumbat dalam kotak berukuran 0.6 x 0.6 meter selepas penyewa yang tinggal di tingkat satu mengadu terhidu bau busuk di rumah kedai dua tingkat itu.

Tiada ulasan: