Ahad, 5 April 2015

Lebih 400 keluarga sehelai sepinggang rumah dijilat api

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SEMPORNA: Lebih 400 penduduk di Kampung Bangau-Bangau di sini hilang tempat tinggal apabila 64 buah rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran awal pagi ini.
 
Kejadian itu berlaku kurang dua minggu selepas 233 rumah penduduk perkampungan air berke­naan musnah terbakar.
 
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pada pukul 1.45 pagi itu.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Fazizul Izham Borhan berkata, pihaknya mene­rima panggilan kecemasan pada pukul 1.47 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.
 
Menurutnya, ketika tiba di lokasi, api marak dengan cepat dan telah memusnahkan hampir 85 peratus rumah di kampung tersebut.
 
“Ketika kejadian kita percaya penduduk kampung sedang lena tidur sebelum keadaan menjadi kelam kabut apabila orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan harta benda masing-masing,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
 
Dalam kejadian 25 Mac lalu, sebanyak 233 buah rumah musnah melibatkan lebih 2,600 penduduk kampung berkenaan hilang tempat tinggal dan hidup sehelai sepinggang.
 
Tambah Fazizul Izham, seramai 20 pegawai dan anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Kunak terlibat dalam operasi tersebut.
 
Ujar beliau, pihaknya terpaksa menggunakan air laut untuk memadamkan kebakaran ekoran pili air kampung itu terletak jauh dari lokasi.
 
Tambahnya, api berjaya dika­wal daripada merebak ke kawasan lain pada pukul 3.33 pagi dan api di­padam sepenuhnya pukul 5.55 pagi.
 
“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan kesemua mangsa terlibat ditempatkan di Dewan Masyarakat Semporna,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: