Gambar Hiasan Gambar Hiasan
 
 
SIBU - Rumah Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh sekali lagi menjadi sasaran tembakan pada awal pagi, hari ini.  

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.35 pagi di rumah yang terletak di Jalan Ipoh di sini.  

Penembak yang sama sebelum itu dipercayai turut melepaskan sedas tembakan ke arah pintu masuk kilang percetakan Akhbar Kumpulan See Hua di Estet Perindustrian Sungai Antu yang terletak kurang 3 kilometer dari rumah Wong pada 5.20 pagi.  

"Hanya sedas tembakan dilepaskan di setiap satu tempat kejadian. Senjata yang dipercayai digunakan adalah senapang patah," kata Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi.  

Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati kejadian itu tiada kaitan dengan kes tembakan melibatkan dua pusat beli belah di bandar ini pada 30 Januari lalu.

Kejadian itu dilaporkan kepada polis oleh anak Wong, Datuk Andrew Wong Kee Yew, 39, dan Pengurus Pengeluaran Akhbar Kumpulan See Hua, Wong Teck Chiong,  49.  

Kee Yew yang merupakan timbalan pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (SMC) menyedari kejadian itu apabila dikejutkan daripada tidur oleh bunyi tembakan dan  ketika membuat pemeriksaan beliau mendapati ada kesan tembakan pada cermin di tingkat dua rumah itu.

Sementara itu kejadian di kilang yang mencetak akhbar See Hua, The Borneo Post dan Utusan Borneo itu dilaporkan kepada pengurus pengeluaran kilang terbabit  oleh seorang pengawal keselamatan wanita yang terdengar bunyi tembakan dan mengesan serpihan kaca di pintu masuk kaca kilang itu.

Mohd Kamal berkata tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kejadian tersebut.

Rumah Wong yang merupakan presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) turut menjadi sasaran beberapa das tembakan pada 13 Ogos tahun lalu, susulan itu tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan. - Bernama