Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Roketkini.com berbesar hati meraikan dua tokoh yang ditakdirkan lahir pada tarikh yang sama, meski pada tahun berbeza.
Kedua mereka adalah Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang diputerakan pada 8 Februari 1903, manakala Sasterawan Negara A Samad Said lahir 83 tahun lalu pada 8 Februari 1932.
Kedua mereka sempat bertemu muka pada suatu ketika dahulu. Tunku sebagai tokoh politik dan Pak Samad sebagai pujangga mempunyai kelebihan masing-masing.
Memang tidak cukup ruang untuk membicarakan sumbangan mereka kepada sejarah, politik, seni dan kebudayaan serta ruang sosial dan ekonomi negara.
Satu forum khas diadakan esok, Sabtu 7 Februari bertempat di Hotel Mandarin Court, Jalan Maharajalela, KL bermula jam 2 petang bertujuan membicarakan peranan dan sumbangan kedua mereka berkaitan suasana masyarakat Malaysia yang suatu waktu dulu hidup harmoni dan sederhana, walaupun berbeza kaum dan agama serta ideologi.
Memang tidak dinafikan rakyat Malaysia pernah hidup dalam kemelut politik dan eknonomi. Tiada siapa menafikan keperitan dan kepayahan hidup bagi sesetengah kelompok rakyat.
Namun tiada siapa juga dapat menafikan bahawa masyarakat Malaysia pada suatu masa dulu bersifat lebih jujur, terbuka dan tidak mudah tersinggung.
Forum khas ini berharap perbincangan tentang kedua mereka, dengan kehadiran Pak Samad sebagai tokoh besar dunia seni Malaysia memberi insiprasi kepada generasi hari ini tanpa perlu menoleh ke belakang, atau setidak-tidaknya menjadikan sejarah sebagai pandu arah untuk keluar dari kemelut perkauman dan keagamaan yang sempit.
Panel forum kali ini akan dianggotai Pak Samad sendiri, bersama Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, aktivis sosial Datuk Ambiga Sreenevasan, Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.
Forum akan dikendalikan penyelaras Roketkini.com Edry Faizal. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan