Khairy Jamaluddin Khairy Jamaluddin



PUTRAJAYA - Pemuda Umno berpendapat BN tidak perlu bertanding di kerusi Dun Chempaka bagi memberi fokus kepada proses pemulihan banjir di kawasan Kelantan Selatan dan Kelantan Tengah.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, proses pasca banjir memerlukan kerjasama erat antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dan sekiranya BN bertanding di kawasan Dun Chempaka, ia mungkin akan mengganggu proses kerjasama itu.

Khairy berkata demikian selepas menghadiri karnival 'Walk-A-Run' yang dianjurkan oleh Persatuan Murid-Murid Lama Kolej Tunku Kurshiah, yang dirasmikan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, di Pusat Sukan Air, di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed juga berpendapat BN tidak perlu meletakkan calon di Dun Chempaka sebaliknya memberi fokus kepada soal perpaduan dan pembangunan pasca banjir.

[ARTIKEL BERKAITAN: BN tak perlu letak calon tanding Dun Chempaka]

Mengenai karnival itu, Khairy berkata, ia adalah satu usaha mengumpul dana bagi memulihkan padang Kolej Tunku Kurshiah di Bandar Enstek.

Terdahulu, Presiden Persatuan Murid-Murid Tua Kolej Tunku Kurshiah, Tan Sri Dr Rafiah Salim berkata, kolej itu memerlukan RM500,000 bagi membaiki pulih padang itu bagi menjalankan aktiviti Hari Sukan. - Bernama