Selasa, 17 Februari 2015

Pulangkan royalti minyak jika hormat Nik Aziz

 
Sebelum ini terdapat gesaan daripada pemimpin UMNO bahawa BN tidak perlu bertanding di Kerusi DUN Chempaka bagi menghormati pemergian Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Mahfuz Omar_oil_300


PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) bukan sahaja tidak perlu bertanding di kerusi DUN Chempaka, malah perlu memulangkan royalti minyak kepada rakyat Kelantan bagi menghormati pemergian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar, isu royalti minyak merupakan antara perkara utama yang diperjuangkan ketika Nik Aziz menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan,

“Alangkah baik jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menunaikan hak yang dituntut oleh rakyat Kelantan itu selain ura-ura BN tidak perlu bertanding di kerusi DUN Chempaka sebagai tanda hormat kepada Nik Aziz,” katanya dalam satu kenyataan kepada Free Malaysia Today.

Mahfuz turut menyatakan sewaktu hayat Nik Aziz, beliau sendiri hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos 2010 untuk memfailkan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh dari perairan negeri itu iaitu di sempadan Thailand dan Kelantan.

“Saya berharap agar perasaan simpati dan sanjungan yang diberikan kepada Nik Aziz itu bukanlah satu kepura-puraan,” ujar Mahfuz.

Beliau juga berharap kerajaan Persekutuan menerusi Petronas akan melaksanakan janji yang telah dimeterai melalui Akta 114 Kemajuan Petroleun 1974 iaitu untuk membayar tuntutan royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berpendapat BN tidak perlu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka bagi memberi fokus kepada proses pemulihan banjir di kawasan Kelantan Selatan dan Kelantan Tengah.

Tiada ulasan: