Palanivel yang tidak dapat menghadiri
mesyuarat yang diaturkan oleh PM kerana membawa isterinya yang sakit ke
hospital mendakwa mesyuarat itu tidak sah dan batal mengikut
perlembagaan parti MIC.
PETALING JAYA: Presiden Kongres India Malaysia (MIC), Datuk Sri G.Palanivel kesal dan kecewa dengan pembabitan pihak ketiga dalam hal ehwal berkaitan partinya itu.
Menamakan Barisan Nasional (BN) sebagai pihak ketiga, Palanivel dalam satu kenyataan media, menyampaikan kesal apabila wakil yang dihantar ke mesyuarat yang diaturkan oleh Perdana Menteri berkenan isu dalaman parti itu, tidak dibenarkan masuk.
“Saya tidak dapat menghadiri mesyuarat kerana terpaksa membawa isteri ke hospital dan perkara itu telah dimaklumkan kepada PM.
“Justeru, saya telah menghantar Ketua Setiausaha MIC, Datuk S Sothinathan, untuk mewakili saya dan beliau tidak dibenarkan berada dalam mesyuarat itu,” katanya dalam kenyataan media itu.
Jelas beliau lagi, Ketua Setiausaha Barisan Nasional, Tengku Adnan Tengku Mansor, telah membuat beberapa cadangan kepada media mengenai isu-isu antara MIC dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Palanivel memandang semua cadangan yang dibentangkan sangat membimbangkan.
“Saya, sebagai Presiden MIC, saya tidak bersedia untuk membiarkan pihak ketiga (Barisan Nasional) untuk menjalankan Parti yang kita cintai. Timbalan Presiden MIC mungkin bersedia untuk membenarkan pihak ketiga untuk menjalankan MIC dan sedia hilang maruah diri tetapi bukan saya,” katanya.
Jelas beliau lagi, MIC mempunyai Perlembagaan Parti dan semuanya akan dijalankan mengikut undang-undang termasuk pilihan raya.
Sebarang tindakan lain yag diambil, menurutnya menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.
“Saya juga terhutang budi kepada ahli-ahli MIC yang merupakan penyokong akar umbi, Cawangan, Bahagian Kongres, Jawatankuasa Perhubungan Negeri dan pemimpin peringkat Kebangsaan MIC yang tidak membenarkan ketidakadilan berlaku,” katanya lagi.
Palanivel dalam kenyataan media yang sama sekali lagi menekankan bahawa ROS tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk bertindak atau membuat keputusan dan memberi arahan seperti yang mereka telah lakukan dengan MIC baru-baru ini.
Beliau juga mempersoal kehadiran Pegawai ROS pada mesyuarat pada Jumaat lepas yang dilabelnya sebagai tidak sah. “Pengumumannya tentang sebuah Sekretariat Nasional Barisan yang kononnya akan menjalankan pilihan raya Parti MIC sama sekali tidak boleh diterima,” petik kata kenyataan itu lagi.
Barisan Nasional dikatakan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengambil alih pentadbiran atau mengendali pilihan raya Parti memandangkan ia bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan MIC serta Akta Pertubuhan, 1966.
Walaupun MIC merupakan parti komponen dalam Barisan Nasional, MIC masih berdiri sebagai parti politik induk dan ditadbir oleh Perlembagaan Parti.
“ROS tidak boleh dalam apa-apa cara sekalipun, membatalkan pemilihan saya sebagai Presiden MIC . Saya menang tanpa bertanding, tidak ada calon lain yang dicalonkan untuk jawatan Presiden. Oleh itu, saya Presiden MIC dipilih dengan sewajarnya yang tidak boleh dipersoalkan oleh ROS. Kuasa saya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan MIC tidak boleh diambil oleh sesiapa sahaja termasuk ROS,” tegasnya.
Walaupun hari ini adalah tarikh akhir Palanivel kepada ROS untuk menarik balik semua arahannya, tetapi selepas penglibatan Tengku Adnan, Presiden MIC tidak mahu menunggu lagi dan sudah mengarahkan peguam untuk memfailkan kertas Mahkamah mencabar keputusan dan tindakan ROS.
“Saya masih terkejut bahawa Timbalan Presiden boleh bersetuju, membiarkan orang lain memimpin MIC. Ini menunjukkan betapa jijiknya tahap seseorang dalam menjayakan agenda politik mereka,” katanya di akhir kenyataan yang bertarikh 16 Februari itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan