Ahad, 22 Februari 2015

PasMa perlu berhenti libatkan ahli PAS dalam aktiviti, kata Ahmad Yakob

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SERDANG: Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) terus dikecam Dewan Ulama PAS apabila parti Islam itu apabila menggesa Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana pemimpin dan ahlinya yang terlibat dalam gerakan itu.
 
Pemangku Ketua Dewan Ulama Datuk Ahmad Yakob berkata, meskipun Majlis Syura Ulama sudah mengeluarkan arahan menghalang ahlinya terlibat dengan aktiviti PasMa namun NGO itu seperti tidak diendahkan.
 
"Ini jelas satu usaha merosakkan PAS dan menghancurkan dari dalam serta memecahbelahkan PAS.
 
"Ini dapat disaksikan apabila banyaknya kenyataan ahli PasMa jelas menyerang dan melanggar dasar PAS, bahkan lebih teruk lagi mereka mengeluarkan kata-kata menghina presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)," katanya pada ucaptama di Multaqa Ulama Semalaysia II di Serdang, Selangor hari ini.
 
Memetik laporan The Malaysian Insider, beliau juga mengingatkan yang sebarang pelanggaran terhadap arahan Majlis Syura Ulama dan keputusan presiden merupakan satu kesalahan mandatori dalam undang-undang PAS.
 
Ia menjadi satu kesalahan walau apa alasan dan sebab yang diberikan serta siapa pun yang terlibat melakukannya, tanpa mengira jawatan yang disandangnya, kata Ahmad yang juga menteri besar Kelantan.
 
Katanya, keputusan Majlis Syura Ulama dan presiden agar ahli PAS menjauhi PasMa dan tidak terlibat dengan segala aktiviti mereka mempunyai banyak asas.
 
"Antaranya ialah, wujud aliran pemikiran songsang dalam individu yang terlibat dengan PasMa, yang bersetuju dengan ajaran liberalisme atau Islam liberal," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada kira-kira 1,000 perwakilan yang menghadiri multaqa sehari anjuran Dewan Ulama PAS itu yang bagaimanapun tidak dihadiri presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
PasMa yang diketuai presidennya, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi ditubuhkan pada 11 Ogos lalu ketika PAS dilanda konflik dalaman yang serius ekoran perbezaan pendirian dalam kalangan pemimpin-pemimpinnya berhubung krisis Menteri Besar Selangor.
 
PasMa yang didalangi kumpulan Anwarinas dan sering mengkritik pimpinan tertinggi PAS termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak disenangi oleh golongan ulama di dalam parti.
 

Tiada ulasan: