Ahmad Yakob Ahmad Yakob
 
 
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak akan membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Mesyuarat Majlis Pimpinan PR esok walaupun mendapat desakan dari rakan pakatannya.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, rang undang-undang  itu diklasifikasikan sebagai ‘embargo’ dan hanya  boleh dibentangkan di Dun atau Parlimen.

“Bagaimanapun kita telah bincang melalui jawatankuasa teknikal, kita panggil pengamal undang-undang, pensyarah-pensyarah, NGO termasuk dalam parti dan pakatan.

“Jadi Ahad kita tidak boleh bentang enakmen berkenaan, lepas pada itu (Parlimen) Insya-ALLAH,” katanya kepada pemberita selepas kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini semalam.

Semalam Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim  meminta Kelantan membentangkan enakmen hudud dalam mesyuarat pakatan yang dijangka dihadiri pimpinan tertinggi Pas, PKR dan DAP.

[ARTIKEL BERKAITAN: Semua hadir mesyuarat pimpinan PR]

Dalam masa yang sama, beliau turut menegur kerajaan Kelantan yang dikatakan lebih mengutamakan perlaksanaan hudud berbanding menyelesaikan isu banjir.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, tiada ada isu besar yang berbangkit memandangkan pembentangan rang undang-undang itu tidak melibatkan isu pokok sebaliknya sedikit pindaan kepada enakmen terbabit.

Menjawab dakwaan mengatakan PRK dan DAP tidak pernah melihat enakmen itu, Ahmad berkata, pihaknya beberapa kali telah mengadakan pembentangan kepada Pas Pusat.

Dalam pada itu, Ahmad menafikan dakwaan Anwar  mengatakan kerajaan negeri tidak mengutamakan isu banjir sebaliknya memberi  tumpuan  dalam perlaksanaan hudud.

“Kerajaan fokus dalam isu kebajikan  dan juga melaksanakan hukum ALLAH, kita buat bersama,  tidak bangkit isu tersebut,” katanya.