Rabu, 4 Februari 2015

MIC ini selalu ada masalah, kata Dr M

MALAYSIAKINI


 


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata krisis MIC perlu ditangani dengan bantuan pihak ketiga.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan orang yang sesuai menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah parti berkenaan memandangkan kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu tidak akan menemui persetujuan jika ia diselesaikan di antara mereka.

"MIC ini selalu ada masalah. Saya ingat masalah ini patut dibetulkan oleh orang di luar MIC, kalau sama-sama dia, mereka tidak akan mencapai persetujuan.. masa saya dulu pun berlaku juga," katanya kepada pemberita selepas meletakkan plak warisan kebangsaan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dekat Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung masalah yang melanda MIC ketika ini.

Ditanya sama ada beliau bersetuju jika diminta menjadi orang tengah, Dr Mahathir berkata: "Saya bukan lagi seorang ahli politik. Saya hanya pengkritik".

Krisis dalaman MIC tercetus selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam perhimpunan agung MIC di Melaka pada Nov 2013.

Dalam surat bertarikh 5 Dis 2014, RoS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan tersebut dalam tempoh 90 hari. - Bernama

Tiada ulasan: