Oleh LIM KIT SIANG
Malay Mail Online hari ini melaporkan bahawa berikutan jadualnya yang sibuk, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka tidak memberikan kenyataannya kepada polis minggu ini, berikutan kiriman facebook yang penuh kontroversi menyeru pengguna Melayu memboikot peniaga Cina.
Ya, Ismail kini sedang menikmati layanan wira terhadapnya selepas tekanan politik diberikan ke atas Kabinet, menyebabkan bukan sahaja 35 menteri, tetapi juga dua menteri MCA yang selama ini mengecam kenyataan perkauman Ismail sebelum mesyuarat Kabinet semalam, terpaksa menerima sahaja seruan Ismail dan menyifatkannya sebagai bijak, dan ditujukan kepada semua peniaga serta bukan peniaga dari kaum tertentu supaya menurunkan harga.
Tiada sesiapa yang tahu bagaimana dua menteri MCA tersebut dapat membulatkan yang lonjong, tetapi mereka jelas telah mencapai teknik silat politik yang tidak difahami oleh manusia biasa, termasuk ahli politik biasa.
Bagaimanapun, sekiranya tweet Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan polis menyiasat kiriman facebook Ismail yang membuat kenyataan perkauman menyeru pengguna Melayu memboikot peniaga Cina masih perlu diambil serius selepas Kabinet membersihkan Ismail, tidakkah polis sepatutnya menyiasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan seluruh kabinet tentang bagaimana mereka berjaya mengubah kenyataan perkauman Ismail supaya memboikot peniaga Cina menjadi teguran kepada semua peniaga dan bukan kaum tertentu sahaja untuk menurunkan harga barang?
Bukan sahaja rakyat Malaysia, seluruh dunia ingin tahu bagaimana kabinet Malaysia berjaya melakukan silap mata. Pertamanya menukar seruan perkauman kepada pengguna Melayu untuk memboikot peniaga Cina menjadi kenyataan terhadap semua kaum.
Kedua lebih hebat lagi, iaitu menukar pendirian pemimpin politik seperti dua menteri MCA yang sebelumnya benar-benar percaya dengan sifat perkauman dari kiriman facebook Ismail sebelum mesyuarat Kabinet, namun kemudiannya menerima kenyataan Ismail itu sebagai tidak bersifat perkauman langsung.
Pun begitu, adakah pihak polis akan menyiasat Najib dan 35 Menteri Kabinet yang lain mengenai bagaimana mereka telah menukarkan sebuah seruan perkauman menjadi tidak perkauman?
Ismail berkata bahawa tidak ada masalah dengan kiriman di facebooknya, dan tidak akan memohon maaf. Malah, beliau diraikan sebagai wira nasional – lebih hebat berbanding Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi.
Tetapi jika tak ada masalah dengan kiriman Facebook menyeru pengguna Melayu memboikot perniagaan Cina, kenapa Ismail Sabri memadamkan kiriman tersebut?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan