Selasa, 3 Februari 2015

Kampung Pasir Tumboh, projek pertama Impian Kelantan

KG ANGKAT DAP-PASIR TUMBUH (13)

Roketkini.com


GUA MUSANG – Meskipun baru sahaja dilancarkan Sabtu lalu, Gabungan Impian Kelantan telah pun memulakan projek pertama dengan membina semula perumahan yang rosak di Kampung Pasir Tumboh di jajahan Gua Musang.

Wakil NGO Cakna UT Tuan Lokman berkata, usaha membina semula dan membaiki rumah di tapak asal adalah lebih munasabah, berbanding memberikan rumah transit kepada mangsa banjir sepertimana dilakukan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika meninjau kampung tersebut yang terletak di tebing Sungai Betis yang menenggelamkan seluruh kampung tersebut ketika banjir melanda bulan lalu.

“Sampai bila nak tinggal dalam khemah. Berapa lama pula nak duduk dalam rumah transit?

“Nanti perlu pindah ke tapak rumah asal juga,” ujarnya ketika meninjau kawasan sekitar Manek Urai yang dipenuhi sampah sarap dan kain baju berselerak selain harta benda mangsa yang bergantungan di dahan-dahan pokok.

Menurut Lokman, kira-kira 60 pemilik dari 90 buah rumah bersetuju untuk dibaikpulih, manakala selebihnya masih menunggu bantuan dari kerajaan Pusat.

“Kita nak tengok lama mana dia nak tunggu,” ujar penduduk setempat yang mengaku sudah letih dan berputus asa dengan kerajaan pusat Barisan Nasional yang tidak menghiraukan mereka.

Menurut Tuan Lokman, projek membaikpulih di Kampung Pasir Tumbuh dijangka siap dalam masa enam bulan, dengan dana disumbangkan melalui inisiatif Gabungan Impian Kelantan.

“Beras, sardin, biskut cukup buat makan setahun. Apa yang diperlukan oleh mereka ialah rumah tempat tinggal,” katanya sambil menunjuk ke arah sebuah rumah yang hanya tinggal tiga anak tangga.

Sebulan banjir surut, masih ada tinggal di khemah

Sementara itu pemandangan menyayat hati di sekitar Jalan Gua Musang – Kota Bharu masih lagi boleh dilihat.

Dengan keadaan rumah yang roboh atau dihanyutkan arus banjir setinggi pokok kelapa, orang ramai masih lagi hidup di dalam khemah selepas lebih sebulan banjir berlaku.

Dalam pada itu kata Tuan Lokman, kerajaan negeri baru-baru ini bermesyuarat dan meluluskan peruntukan RM10 ribu untuk satu kawasan DUN yang terjejas banjir,

Namun katanya sumbangan berterusan daripada masyarakat amat diperlukan bagi membina semula rumah-rumah yang telah dihanyutkan air.

Cakna UT merupakan salah satu daripada 39 NGO yang menganggotai Gabungan Impian Kelantan.
Impian Kelantan yang dilancarkan Sabtu lalu bertujuan memberi sumbangan kepada rakyat negeri ini, antaranya melalui pembinaan rumah di beberapa lokasi terpilih. – Roketkini.com

Tiada ulasan: