Isnin, 2 Februari 2015

Kaji dulu pendidikan seks secara menyeluruh – Nik Nazmi

Oleh: Ermizi Mohamad


KUALA LUMPUR - Kerajaan sepatutnya mengkaji terlebih dahulu modul pendidikan seks secara menyeluruh sebelum melaksanakannya kepada pelajar, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, meskipun cadangan itu dilihat wajar, namun langkah mewajibkan hanya pelajar lelaki berusia 16 tahun ke atas dilihat tidak relevan dan boleh dipersoalkan.

“Isu pendidikan seks di sekolah ada keawajarannya, tapi apa yang menimbulkan kemusykilan bila pelaksanaannya hanya kepada pelajar lelaki dan tidak kepada pelajar perempuan.

“Bagi saya, isu ini perlu melibatkan kedua-dua belah pihak tanpa memberi kecenderungan kepada pelajar lelaki semata-mata.

“Oleh sebab itu, kita tekankan kepada kerajaan supaya mengkaji secara menyeluruh terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan.

“Malah kajian itu juga perlulah melibatkan pihak-pihak berkepentingan seperti pakar kesihatan, pakar psikologi dan golongan agama,” katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan ke pejabat Suara Keadilan, bersama barisan pimpinan dan Exco AMK hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang bakal melaksanakan pendidikan seks kepada remaja golongan lelaki lingkungan 16 tahun ke atas pada tahun 2016.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memaklumkan, pelaksanaan modul itu mensasarkan remaja lelaki bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan kesihatan reproduktif dan seksual, sekaligus membendung masalah sosial.

Bercakap lanjut, Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia menegaskan, adalah lebih baik sekiranya kerajaan memberi penekanan kepada aspek pendidikan moral dan sahsiah golongan muda di sekolah terlebih dahulu, selain menggunakan pendekatan pendidikan seks semata-mata.

“Dalam kemelut peningkatan masalah sosial yang berlaku ketika ini, kita sarankan pendidikan yang menerapkan unsur kerohanian di sekolah itu perlu diberi keutamaan dan dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada golongan muda,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: