Khamis, 19 Februari 2015

Jalan Taiping Villa terputus akibat tanah runtuh

MALAYSIAKINI


Kejadian tanah runtuh kawasan perumahan di Jalan Taiping Villa, Taman Taiping dekat Ipoh, menyebabkan laluan utama sepanjang 100 meter itu terputus, Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Hasna Rashid berkata kejadian kira-kira pukul 7.35 malam berlaku apabila bukit setinggi 15 meter runtuh dan pokok-pokok tumbang ke atas jalan itu.

"Dua buah rumah enam meter dari bukit terbabit terjejas apabila runtuhan mengenai pagar rumah berkenaan manakala pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) tertimbus," katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada hujan lebat sejak petang.

Hasna berkata tiada mangsa terlibat dan ketika kejadian penghuni rumah berkenaan tiada di rumah.

Beliau berkata kerja mengalihkan pokok dan tanah runtuh sedang dijalankan oleh pihak kontraktor.

"Anggota bomba sedang membuat pemantauan di lokasi kejadian. Agensi terlibat adalah Jabatan Kerja Raya, polis, TNB dan Lembaga Air Perak," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: