Ahad, 22 Februari 2015

Idris Jusoh mengarut, tipu diri sendiri mengenai mutu IPT negara

ong_kian_ming

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Adalah amat dangkal untuk mendakwa bahawa mutu pengajian tinggi di Malaysia sudah setaraf universiti negara-negara maju dengan hanya berdasarkan peratusan pelajar antarabangsa di universiti tempatan.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh semalam menyatakan perkara demikian berdasarkan bilangan 135,000 pelajar antarabangsa yang membentuk 10% daripada bilangan pelajar di institusi pengajian tinggi dalam negara.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming justeru itu bertanya berapa ramai pula pelajar antarabangsa tersebut yang sanggup menolak tawaran universiti bertaraf dunia di UK dan Australia untuk datang belajar di Malaysia.

“Bukti yang digunakan oleh Idris Jusoh untuk menipu dirinya sendiri supaya percaya bahawa sistem pendidikan negara sudah setaraf negara maju wajar diketawakan,” ujar Dr Ong dalam kenyataannya hari ini.

Malah katanya, berdasarkan ranking QS World University 2014 pun Malaysia masih jauh ditinggalkan institusi pengajian tinggi di United Kingdom dan Australia.

“Sebagai contoh, 19 universiti UK berada dalam ranking 100 teratas, dengan empat daripadanya berada di kedudukan sepuluh teratas – Cambridge, Imperial, Oxford dan University College London,

“Malah Jerman pun, yang universitinya kurang dikenali di arena antarabangsa, mempunyai tiga universiti di ranking 100 tertinggi. Sebaliknya Malaysia tidak ada langsung universiti di kedudukan sedemikian,” ujarnya.

Menurut ranking tahunan itu, hanya Universiti Malaya yang layak berada dalam kedudukan 200 teratas, pada tangga ke 151.

“Kecualilah jika menteri mempunyai akses kepada ranking 2015 yang menunjukkan kedudukan yang jauh berbeza bagi universiti Malaysia, adalah amat dangkal untuk membuat kesimpulan bahawa mutu pendidikan kita setaraf UK, Jerman dan Australia,” tambah beliau. – Roketkini.com

Tiada ulasan: