Khamis, 12 Februari 2015

Hukuman syarak beri keadilan berbanding hukuman sivil - Ahmad Yakob

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yaakob berkata penghakiman menggunakan hukuman syarak adalah lebih wajar dalam kes seumpama liwat kerana ia memberi keadilan kepada tertuduh.  
 
"Pada hakikatnya kita lebih selesa dengan hukuman syarak berbanding hukuman sivil dalam kes seumpama ini yang mana hukuman syarak lebih cermat dan terlalu memberi keadilan kepada yang dituduh," ujar Ahmad yang dipetik daripada Facebooknya.
 
Menteri Besar Kelantan itu menulis status berkenaan sebagai respon terhadap penghakiman kes liwat II melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
 
Mahkamah Persekutuan semalam menolak rayuan Anwar dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman lima tahun penjara atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.
 
Beliau dalam pada itu turut merakamkan ucapan takziah kepada Anwar dan keluarganya di atas keputusan mahkamah berkenaan.   
 
"Semoga Anwar dan keluarga dapat melalui ujian ini dengan sabar dan saya bersimpati dengan beliau dengan penahanan yang agak lama ini," ujarnya.
 
Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan pensabitan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan meliwat sebagai 'bukti' Malaysia memerlukan undang-undang hudud yang diperjuangkan oleh partinya. 
 
"Hanya undang-undang syariah sahaja boleh memberikan keadilan sebenar dan penyelesaian terhadap seluruh kekeliruan dan fitnah sebagaimana kes ini, kata Hadi dalam satu kenyataan. 
 
"Maka, perlunya semua pihak memberi keyakinan kepada PAS untuk membawa perjuangan hingga berdaulatnya Undang-undang Syariah di dalam pemerintahan negara kita ini, termasuk menegakkan 'addin' yakni cara hidup Islam," tambah beliau.  

Tiada ulasan: