Abdul Hadi Awang
 
 

SHAH ALAM - Konflik dalaman Pas yang disifatkan kian meruncing 'memaksa' presiden parti itu mengingatkan tentang bai'ah dan wala' yang seharusnya dipegang teguh oleh setiap ahli parti berkenaan.

Bercakap menerusi satu rakaman video berjudul 'bai'ah dalam perjuangan' di laman sosial Facebook miliknya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan tentang perkara tersebut dan mahu ahli parti Islam itu tidak melakukan perkara yang boleh merugikan Pas.

“Apabila kita menyebut tentang bai'ah ianya berkait dengan janji setia kepada perjuangan Islam yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW bagi mengukuhkan seorang ahli jemaah dengan jemaah dan kesetiaannya,” ujar Abdul Hadi.

Jelasnya, perkara terpenting dalam bai'ah ialah memelihara perkara yang tersirat di dalam hati manusia iaitu keimanan dan keikhlasan hati kepada ALLAH dalam perjuangan untuk menegakkan Islam.

“Menjadi rukun kepada  bai'ah khususnya di dalam perkara ketaatan mutlak iaitu kepada ALLAH  dan Rasul dan ketaatan yang tidak bermutlak yakni bersyarat kepada kepimpinan dan jemaah dalam perkara yang tidak maksiat yang tidak bercanggah dengan perintah ALLAH,” tambahnya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu berkata lagi, kesetiaan terhadap perjuangan Islam perlulah bersungguh-sungguh dan dilarang untuk mengkhianatinya.

"... khianat pada jemaah ini merupakan hal-hal yang sangat penting apabila kita melakukan bai'ah kepada kumpulan Islam kalau di negara kita adalah Pas," ujar beliau.

Sebelum ini, nama Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) sekali lagi dikaitkan dengan gerakan mahu menjatuhkan Abdul Hadi.

Gerakan itu kembali menjadi sebutan selepas Ketua Pemuda Pas Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim mendakwa adanya komplot jahat dilakukan untuk menguasai Pas Pusat serta menjatuhkan Abdul Hadi.

Beliau turut menamakan beberapa nama pimpinan tertinggi Pas yang dikatakan bersekongkol bagi tujuan itu.