Selasa, 10 Februari 2015

Dr Asri mempunyai kelantangan bersuara yang diperlukan sebagai mufti untuk menegakkan syiar Islam

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Nasrudin Hassan meletakkan keyakinan yang tinggi kepada Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohamad Asri Zainul Abidin untuk mempertahankan serta memartabatkan kedudukan Islam meskipun berdepan cabaran.
 
Ini kerana menurut Nasrudin, Dr Asri merupakan tokoh agama yang tegas serta berani bersuara dalam mendepani isu agama dan kepentingan Islam di negara ini.
 
Justeru melalui kedudukan sebagai mufti, beliau mengharapkan Dr Asri dapat mempergiatkan usaha memartabatkan kedudukan Islam melalui idea dan pemikiran beliau yang mudah diterima umum.
 
"Itu mungkin satu faktor kelebihan yang ada pada beliau iaitu kelantangan bersuara sebab saya lihat rata-rata tokoh agama ataupun mufti dalam negara tidak ramai yang mempunyai ciri-ciri kelantangan bersuara.
 
"Mungkin kerana faktor beliau masih muda dan juga sikap berani bersuara juga ada pada beliau maka saya harap ia digunakan untuk benar-benar menjaga kewibawaan Islam dan umat Islam dan akhirnya dapat mencegah kemungkaran dan menegakkan yang makruf," katanya kepada Antarapos.
 
Kata Nasrudin lagi, senario hari ini memerlukan Dr Asri untuk bertindak tegas tanpa kompromi dalam hal berkaitan Islam sama ada di peringkat negeri atau nasional. 
 
"Jangan hanya akur dan tunduk kepada sesuatu keputusan dan arahan mana-mana pihak termasuk kerajaan walaupun ia bertentangan dengan Islam.
 
"Jadi mufti mesti ada ketegasan itulah, saya mengharapkan beliau dapat gunakan kelebihan yang ada untuk Islam," katanya.
 
Untuk rekod, Dr Asri telah dilantik semula sebagai Mufti Perlis bagi menggantikan Dr Juanda Jaya yang tamat perkhidmatannya tahun lepas.
 
Dr Asri, 44, yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 Nov 2006 sehingga November 2008 sebelum digantikan oleh Juanda.
 
Selepas menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Mufti Perlis, beliau kembali menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM).
 
Beliau menerima tawaran memegang jawatan itu buat kali kedua selepas mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
 
Ujar Nasrudin lagi, selaku mufti Dr Asri perlu memastikan pendekatan yang sesuai supaya usaha yang dirangka boleh diterima umat Islam selain dihormati masyarakat bukan Islam.
 
"Saya tiada masalah apa-apa sebab pelantikan dan menerima pelantikan itu hak kerajaan negeri dan individu terbabit iaitu Dr Asri.
 
"Pada saya itu tidak menjadi masalah, saya hanya mengharapkan beliau dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan baik," katanya.
 
Jelas Ahli Parlimen Temerloh ini, Dr Asri telah membawa kedudukan Mufti Perlis ke peringkat nasional melalui peranan dan usaha-usaha yang pernah dilakukan beliau.
 
"Sebab tanggungjawab serta amanah sebagai mufti ini sangat besar, mencabar dan penting terutamanya dalam institusi umat Islam dalam negara kita.
 
"Jadi supaya beliau diberikan kekuatan oleh Allah dan juga diberikan petunjuk untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik demi menjaga nama baik Islam dan umatnya," katanya.
 
Sebelum ini, Dr Asri berkata tawaran tersebut merupakan satu cabaran dalam kerjayanya untuk memastikan syiar agama Islam di negeri ini terus meningkat dengan berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
 
Katanya beliau akan melakukan banyak perancangan ke arah mencambahkan ilmu agama kepada rakyat negeri ini termasuk mengadakan kelas agama di masjid sebagaimana telah diamalkannya semasa menjadi mufti sebelum ini.

Tiada ulasan: