Ahmad Yakob Ahmad Yakob
 
 
KOTA BHARU - [KEMASKINI] Dewan Ulama Pas Pusat mendoakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli keluarga beliau dapat melalui ujian dengan sabar.

Ia susulan Mahkamah Persekutuan semalam, menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas terhadap sabitan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pemangku Ketuanya, Datuk Ahmad Yakob berkata, beliau simpati dengan penahanan yang agak lama perlu dijalani oleh Penasihat PKR tersebut.

“Saya simpati dengan Anwar dan ahli keluarganya atas hukuman yang agak berat diputuskan oleh mahkamah pada hari ini (semalam).

“Pada hakikatnya kita lebih selesa dengan hukuman syarak berbanding hukuman sivil dalam kes seumpama ini, yang mana hukuman syarak lebih cermat dan memberi keadilan kepada yang dituduh,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Sementara itu, PKR tidak sesekali patah semangat meneruskan reformasi dilaungkan selama ini walaupun penasihat parti itu, Anwar dikenakan hukuman penjara.

Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir berkata, walaupun Mahkamah Persekutuan mengumumkan mengekalkan penjara lima tahun tersebut terhadap Anwar, ia tidak menjejaskan semangat mereka.

“Kami hormati keputusan mahkamah tapi kami tetap tidak akan patah semangat. Hidup dan perjuangan mesti diteruskan walaupun kita akui kecewa apa yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, PKR Kelantan akan meneruskan amanat  Anwar dan akan memberikan penerangan kepada rakyat sebaik mungkin.