Hadi Awang Hadi Awang
 
 
SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hadir mesyuarat Majlis Pimpinan PR yang dijadualkan esok, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa mengulangi jaminan kehadiran Abdul Hadi menyusuli kegusaran DAP yang dikatakan enggan meneruskan mesyuarat itu jika Presiden Pas tidak hadir.

“Insya-ALLAH beliau (Abdul Hadi) akan hadir, dia (DAP) tidak perlu risaulah. Setakat ini, beliau disahkan hadir kalau tiada apa-apa kekangan, lagipun memang pada sebelah pagi Pas ada mesyuarat (Pusat),” katanya, semalam.

Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Abdul Hadi perlu menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan PR, esok bagi membolehkan sebarang keputusan berhubung isu-isu berbangkit dibuat secara kolektif.

“Kami mendapat jaminan yang Hadi akan datang, jika tidak mesyuarat tidak diteruskan,” katanya.

Konflik antara DAP dan Pas mula timbul apabila isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelaksanaan hukum hudud, yang masing-masing diperjuangkan oleh DAP  dan Pas, telah mencetuskan perbalahan antara dua parti komponen pakatan itu.

Menurut Mustafa, kehadiran presiden mereka bukan atas faktor desakan mana-mana pihak, tetapi atas kerelaan dan semangat yang dibawa dalam PR.

“Ya, kehadiran beliau itu bukan ditekan oleh sesiapa atau sebab orang-orang DAP, tetapi memang beliau mahu hadir,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berharap kemelut antara DAP dan Pas itu dapat diselesaikan sebelum keputusan kes liwatnya di Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari.