Khamis, 5 Februari 2015

DAP hanya hadir mesyuarat Pakatan dengan kehadiran Presiden PAS

anthonyloke

Oleh ANTHONY LOKE 


Saya merujuk kepada satu laporan media hari ini dalam Akhbar Sin Chew Daily yang memetik sumber yang dikatakan mewakili pimpinan PAS Pusat yang menegaskan bahawa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng perlu memohon maaf kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Saya ingin menegaskan bahawa soal perlunya Lim Guan Eng memohon maaf kepada Datuk Mustafa Ali tidak timbul sama sekali. DAP tidak akan dan tidak pernah tunduk kepada apa-apa tekanan daripada mana-mana pihak.

Seluruh pimpinan DAP di semua peringkat berdiri teguh di belakang Setiausaha Agung DAP dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan dan menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 2012 yang diluluskan sebulat suara oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Kami ingin mengulangi pendirian kami bahawa semua usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah matlamat tersebut telah dimaklumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan tidak pernah ada bantahan daripada mereka sebelum ini.

Matlamat untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan juga amat jelas selari dengan agenda dan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Malah, polemik yang timbul mengenai isu ini dalam dua minggu yang lalu juga amat jelas menunjukkan bahawa terdapat suara daripada pimpinan PAS termasuk beberapa Ahli Parlimen PAS dan pemimpin veteran PAS yang telah menyatakan sokongan mereka secara terbuka untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan di seluruh negara.

Berhubung dengan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang dicadangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diadakan sebelum 10 Februari 2015, DAP memberikan komitmen akan menghadiri mesyuarat tersebut sekiranya PAS juga memberikan komitmen bahawa Presiden PAS akan menghadiri mesyuarat tersebut.

Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP telah meluluskan satu resolusi sebelum ini yang menegaskan bahawa pimpinan tertinggi DAP hanya akan menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dengan kehadiran Presiden PAS sendiri untuk mengelakkan keadaan di mana apa-apa keputusan yang dicapai dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat tidak direstui kemudian oleh Presiden PAS. – Roketkini.com

Tiada ulasan: