Khamis, 19 Februari 2015

Berita Tamil BERNAMA TV tak dapat ke udara

MALAYSIAKINI


 


Masalah melibatkan stesen televisyen BERNAMA TV yang belum diselesaikan sepenuhnya menjurus kepada siaran berita dalam bahasa Tamil tidak dapat ke udara.

Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Zulkefli Salleh berkata penyelesaian penuh kepada masalah BERNAMA TV sedang diusahakan.

"Setakat ini, penyelesaian jangka pendek dicapai. Penyelesaian jangka panjang mungkin mengambil sedikit masa lagi," katanya.

Ketua Pemuda MIC, Sivarraajh Chandra, Rabu memohon penjelasan berhubung kekecewaan pengikut setia berita Tamil BERNAMA TV ekoran ketiadaan siaran berita tersebut.

Dalam pada itu, Zulkefli menjelaskan gaji pekerja BERNAMA TV bagi bulan Januari telah dibayar dan gaji bulan Februari juga akan dibayar seperti dijanjikan.

Beliau menegaskan bahawa bagi memastikan masalah BERNAMA TV tidak terus berlanjutan, entiti itu sedang mengambil langkah untuk mengurangkan kos operasinya.

BERNAMA TV ditubuhkan pada 2008 bagi menguruskan siaran berita 24 jam dan BERNAMA memiliki 33 peratus ekuiti dalam BERNAMA TV Synergy Sdn Bhd, syarikat usahasama yang menubuhkan BERNAMA TV.

BERNAMA TV menghadapi masalah ekoran hasil pendapatan syarikat yang tidak dapat menampung kos operasinya termasuk pembayaran upah dan gaji.

Pada 9 Feb lepas, BERNAMA TV tidak beroperasi seperti biasa berikutan sebahagian petugasnya tidak hadir bertugas ekoran kegagalan syarikat pengendali membayar gaji mereka bagi bulan Januari.

Pada 12 Feb, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengadakan pertemuan dengan kira-kira 100 pekerja BERNAMA TV untuk membincangkan masalah dan masa depan stesen televisyen berkenaan.- Bernama

Tiada ulasan: