Ahad, 22 Februari 2015

Australia tak benar Sirul ditemu ramah media

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SYDNEY: Jabatan Imigresen Australia menjelaskan tiada sebarang kelulusan diberikan untuk mana-mana temu ramah televisyen dengan bekas komando polis Malaysia, Sirul Azhar Umar yang kini berada di pusat tahanan Villawood di Sydney.
 
Jurucakap Menteri Imigresen Australia, Peter Dutton berkata, jabatan itu secara umumnya tidak membenarkan temu ramah di dalam pusat tahanan atas sebab-sebab operasi, menurut laporan The Sydney Morning Herald.
 
Sirul sebelum ini dilaporkan sedang berunding dengan stesen televisyen Australia untuk satu temu ramah bagi mendedahkan individu yang mengarahkannya membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
 
Kelmarin, Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar juga berkata parti itu akan mengaturkan temu ramah secara langsung melalui telefon antara media Malaysia dan Sirul, esok.
 
Menurut jurucakap Imigresen Australia, Sirul memerlukan kelulusan pihak tertinggi untuk merakamkan temu bual bersama media di unit Blaxland di Villawood yang mempunyai kawalan keselamatan maksimum, di mana dia ditahan sejak ditangkap di Queensland pada 20 Januari lalu.
 
"Kami tidak menolak kemungkinan temu ramah boleh dilakukan pada masa akan datang jika proses permohonan yang sepatutnya dipenuhi," kata jurucakap itu.
 
Sirul yang dihukum gantung sampai mati kerana membunuh Altantuya kini berdepan penahanan bagi tempoh tidak pasti atas kesalahan berkaitan imigresen.
 
Ini kerana Austalia menolak permohonan ekstradisi Malaysia bagi menghantar Sirul pulang kecuali jika kerajaan Malaysia memberi jaminan Sirul tidak akan dihukum gantung apabila dikembalikan.
 
Hukuman gantung bertentangan dengan undang-undang di Australia.

Tiada ulasan: