Khalid Ibrahim Khalid Ibrahim
 
 
SEPANG - PKR didesak menghentikan fitnah terhadap bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai dalang demonstrasi desak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggantikan posisi Ketua Umum PKR.

Pegawai Khas bekas Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menuntut PKR memohon maaf di atas keceluparan pimpinan parti itu menuduh Abdul Khalid tanpa asas.

“Tindakan mereka dengan mudah dan tanpa rasa bersalah menuduh Abdul Khalid sebagai dalang tersembunyi di sebalik demonstrasi lebih kepada sikap kebudak-budakan bagi menutup kelemahan sendiri.

“Reaksi pantas parti tersebut terhadap demonstrasi ahli parti mereka yang meminta PKR melantik Dr Mahathir sebagai Ketua Umum PKR bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga membuktikan parti itu semakin nazak dan amat terdesak,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.

Kelmarin, dilaporkan sekumpulan anggota PKR berhimpun di hadapan Ibu pejabat PKR memegang kain rentang yang mendesak pucuk pimpinan parti itu melantik Dr Mahathir sebagai Ketua Umum PKR menggantikan Anwar yang kini menjalani hukuman penjara.

Faekah berkata, tidak cukup dengan fitnah dan penghinaan yang mereka lemparkan terhadap Abdul Khalid selama ini, kini permasalahan dalaman PKR seperti mahu dipalitkan kepada bekas menteri besar itu.

“Selaku seorang negarawan, Abdul Khalid  terkenal dengan sifat telus dan bertanggungjawab, justeru menuduh beliau sebagai dalang yang bersembunyi adalah satu penghinaan melampau yang dilakukan oleh pimpinan PKR,” katanya.

Beliau berkata, sewajarnya pimpinan parti itu harus bermuhasabah dengan melihat permasalahan dalaman ahli parti tersebut dengan jujur, bijak dan matang.

Pihaknya sekali lagi menuntut PKR memohon maaf di atas keceloparan pimpinan mereka yang gagal menegakkan keadilan seperti yang laungkan selama ini.