Rafizi Ramli Rafizi Ramli
 
 
PETALING JAYA - Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang baharu, Arul Karan Kandasamy didakwa tidak mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan dan menentukan hala tuju syarikat pelaburan nasional itu meskipun keupayaannya tidak diragui.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendakwa pengurus bank dari Malaysia yang berpengkalan di Abu Dhabi itu masih terikat kerana pembuat keputusan itu hanya dimiliki oleh Lembaga Pengarah 1MDB dan pemimpin kerajaan Persekutuan.

“Saya kenal dia dari sekolah lagi, saya tidak ragu keupayaannya tetapi saya tidak yakin bahawa dia ada kebebasan untuk membuat keputusan (pelaburan dan penggunaan dana),” katanya kepada pemberita di ibu pejabat pKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pelantikan Arul, 38, sebagai CEO 1MDB baharu selepas penyandangnya, Mohd Hazem Abdul Rahman meletakkan jawatan pada Isnin lalu.

Pada masa ini, Arul sebagai Naib Presiden Eksekutif, Ketua Kumpulan Perbankan Pelaburan dan Ketua Bahagian Kewangan Korporat, bagi Abu Dhabi Commercial Bank sejak Julai 2008.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengarah bukan bebas bukan eksekutif RHB Investment Bank Bhd Malaysia dari Julai 2009 hingga 10 Mei 2011, dan dalam tempoh masa sama, sebagai pengarah bukan bebas bukan eksekutif RHB Capital Bhd, selain sebagai pengarah RHB Islamic Bank Bhd.

Sementara itu, Hazem menyertai 1MDB, syarikat pelaburan strategik negara itu, sebagai Ketua Pegawai Operasi pada Ogos 2012.

1MDB dilanda kontroversi berhubung portfolio hutangnya dan kerana menyimpan sejumlah RM7.18 bilion di Kepulauan Cayman.